RAKAN FOLLOWERS

Tuesday, 17 June 2014

MULAKAN HARI INI, SERTAI KAMI DI AKADEMI BEKERJA DI RUMAH

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof

ULASAN KELAS BLOG DAN FANPAGE BISNES ABDR

Assalamualaikum…

Syukur alhamdulillah dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia dan nikmat kesihatan serta ketenangan. Sungguh banyak nikmatNya tidak terhitung. Sesungguhnya rezeki Allah itu amat luas dan tidak mengira siapa sahaja walau di mana berada. Allah Maha Adil dan rezeki yang diberi mencukupi keperluan hambaNya. Bersangka baiklah kepada Allah. Sebagaimana firmanNya dalam ayat 2- 3 surah at-Talaq yang bermaksud : “…Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan jalan keluar baginya. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”  

Akan tetapi kita sebagai hambaNya sering terlupa nikmat dan tidak pernah merasa cukup, bersyukur kepadaNya. Bahkan seringkali merungut itu dan ini hanya kerana apa yang kita ingini tidak diperolehi. Ada ketikanya Allah menangguhkan permintaan kita kerana ingin memberikan sesuatu yang lebih baik dan selayaknya untuk kita.

Alhamdulillah, dengan izinNya jualah saya dipertemukan dengan rakan-rakan ABDR. Walaupun pertemuan yang diatur melalui alam maya, rakan-rakan di sini cukup membangkitkan semangat. Di sini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan  kepada Puan Masayu Ahmad kerana mewujudkan peluang ini untuk dikongsikan bersama rakan-rakan yang lain seterusnya barisan guru online Puan Anys Idayu Zakaria dan Puan Nur Balqis Qahira yang tidak jemu mencurahkan ilmu dan pengalaman agar kejayaan dan kemanisan dapat dirasai bersama-sama. “ Sharing is caring ”. Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) disertai oleh barisan Pengurus Online (PO) dan Rakan Niaga yang amat komited. Pelbagai tips dan ilmu serta perkongsian bisnes melalui kumpulan sokongan khas. Ianya bukan suatu usaha yang mudah untuk ke tahap ini. Biarlah apa orang kata sekali pun, insya Allah rezeki Allah beri tetap ada. Keyakinan dan kebergantungan kita hanya kepada Allah dan lipatgandakan usaha kita.  

Dengan ini, saya mengalu-alukan kedatangan ahli baru ke AKADEMI BEKERJA DI RUMAH (ABDR)
Sama-sama bergabung dengan kami  hampIr 700 blog. Kami menerima pendaftaran setiap hari. Pilih mana-mana kelas berikut dan daftar kepada guru online.
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog mula bisnes
3. Kelas asas blog penulisan kreatif
4. Kelas asas blog iklan mudah.my
5. Kelas penulisan ebook pertama
6. Kelas akaun wahm soho online dan offline
7. Kelas borong telekung solat
8. Kelas wordpress
9. Pendaftaran pengurus online
10. Pendaftaran projek duit raya
11. Tempahan iklan bersama kami
12. Tempahan blog bisnes- siap 3 hingga 5 hari.


Untuk mengecapi kejayaan hari ini , usaha yang komited serta konsisten amat perlu. Bak kata pepatah “Nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Kejayaan tidak akan datang dengan sendiri jika kita sering membuat pelbagai alasan dan sering bertangguh untuk memulakan sesuatu usaha. Apa pun yang kita lakukan pasti ada risiko. Berani menanggung risiko untuk berjaya.  Tiada jalan mudah. Resepi kejayaan = Usaha + Modal + Yakin + Konsisten + Doa + Tawakkal + Syukur + Sabar. 

Bagi yang berminat dan ada kesungguhan, boleh sertai AKADEMI BEKERJA DI RUMAH
Hubungi saya melalui  : 
Emel : noorazzahyusof@gmail.com
sms/whatsapp : 0126343413

" Kejayaan anda bermula daripada langkah hari ini , mulakan dari sekarang"

Monday, 16 June 2014

BINA MINDA, HALUSI PERIBADI

Teks Ulasan : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Carian Google

BINA MINDA, HALUSI PERIBADI

Assalamualaikum…
Alhamdulillah, masih diberi kelapangan untuk berkongsi ilmu. Topik masih lagi berkisar tentang kisah teladan. Sumbernya saya perolehi dari buku : Keajaiban Firasat – 63 Kisah Pengubat Jiwa, Muhadir Haji Joll, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Saya mengambil beberapa kisah dari buku tersebut untuk tatapan kita semua dan saya nukilkan sedikit ulasan dan iktibar di pengakhiran kisah… secebis peringatan buat kita moga tidak alpa dengan tipu daya duniawi.

Kisah 1 :  Di mana Kampung Paling Dekat ”

Suatu hari, ketika berjalan di padang pasir , seorang tentera bertemu dengan Ibrahim bin Adham. Dia bertanya, “Kamu seorang hamba sahaya?” Ibrahim menjawab, “Benar.” Dia bertanya lagi , “ Di mana kampung paling dekat dari sini?” Ibrahim menjawab sambil menunjukkan kea rah tanah perkuburan, “Itu, di sana.” Tentera tersebut berkata, “Yang aku cari adalah kampung, bukan kubur.” Oleh sebab rasa dipermainkan, tentera tersebut memukul kepala Ibrahim dengan cemetinya sehingga berdarah. Dia kemudiannya mengheret Ibrahim dan membawanya ke kota. Sampai di kota, kawan-kawan tentera tersebut bertanya, “Apa yang terjadi?” Dia menceritakan apa yang telah terjadi di antara dirinya dan Ibrahim. Kawan-kawannya berkata, “Lelaki ini adalah Ibrahim bin Adham.” Disebabkan Ibrahim bin Adham dikenali sebagai seorang yang kuat beribadah, tentera tersebut berasa takut, lalu turun dari kudanya dan mencium kedua-dua tangan dan kaki Ibarahim serta meminta maaf atas kesalahannya. Mereka bertanya kepada Ibrahim, “Kenapa kamu mengaku sebagai hamba sahaya?” Ibrahim menjawab, “Dia tidak bertanya tentang siapa majikanku, tetapi bertanya adakah aku seorang hamba sahaya. Aku mengatakan benar kerana aku adalah hamba kepada Allah. Ketika dia memukul kepalaku hingga berdarah, aku terus berdoa agar dia masuk ke dalam syurga.” Kawan-kawannya bertanya, “ Kenapa begitu sedangkan dia telah memukulmu?” Ibrahim menjawab, “Aku tahu bahawa Allah telah memberikan aku pahala kerana pukulannya. Aku tidak ingin dia mendapat keburukan disebabkan aku, sedangkan aku mendapat kebaikan disebabkannya.”

* Bina minda, halusi peribadi : Orang yang berperibadi tinggi sentiasa menyebarkan ion-ion positif kepada orang lain. Tidak kira apa orang lain lakukan terhadapnya, dia masih mampu tersenyum malah mendoakan kebaikan orang tersebut. Di situlah dia membina aura positif dan kekuatan dirinya.


Kisah 2 : “ Lengan Baju Kanan yang Sempit ”

Beberapa orang yang dengki kepada Imam Syafi’e mengetahui bahawa dia telah menghantar pakaiannya untuk dijahit oleh seorang tukang jahit. Mereka datang kepada tukang jahit itu dan cuba menghasutnya. Tukang jahit tersebut akhirnya termakan hasutan mereka itu. Dia menjahit lengan kanan baju Imam Syafi’e dengan agak sempit supaya Imam Syafi’e susah untuk memasukkan tangan kanannya dan mengeluarkannya. Untuk lengan kiri, dia menjahitnya selebar-lebarnya. Ketika baju tersebut diserahkan kepada Imam Syafi’e, dia berkata kepada tukang jahit, “Semoga Allah membalas kebaikanmu dengan kebaikan. Engkau telah menyelesaikan masalah yang ku hadapi. Selama ini jika menulis, lengan baju kananku selalu kotor terkena dakwat. Sekarang kerana engkau telah menjahitnya agak sempit, maka aku tidak perlu lagi menggulung lengan bajuku ke atas dan selamatlah ia daripada terkena dakwat. Dengan lengan baju kiri yang lebar ini pula akan menghilangkan kepayahanku membawa kitab. Aku boleh meletakkan kitab-kitabku di dalamnya.”

* Bina minda, halusi peribadi : Perasaan iri hati hasad dengki adalah racun dalam diri. Jika perasaan ini tidak dikawal, lambat laun ianya akan menghancurkan diri sendiri. Apa jua yang berlaku, cuba didik diri dari sesuatu yang berbentuk negatif kepada sisi positif. Adakala sesuatu itu kelihatan tidak elok pada pandangan kita akan tetapi membawa seribu hikmah dan kebaikan tanpa kita sedari.


Kisah 3 : “ Kekayaan yang Tidak Disedari ”

Seorang lelaki mengeluh kerana kemiskinan dan kesusahan yang dihadapinya kepada seorang soleh. Orang soleh itu bertanya kepadanya, “Mahukah kamu menukarkan kedua-dua matamu dengan 10 ribu dirham ? ” “ Tidak” jawabnya. “Bagaimana jika kamu diberi 10 ribu dirham tetapi sanggup menjadi bisu? ” tanya orang soleh itu lagi.  “Itu lagi saya tidak mahu, “ jawabnya. Orang soleh terus bertanya, “Mahukah kamu menukarkan kedua-dua tangan dan kakimu dengan 20 ribu dirham?” Dia menjawab, “Tidak , tidak.” Orang soleh itu menasihatinya, “Apakah kamu tidak malu dan mengeluh kepada Allah sedangkan Allah telah memberikan kepada kamu anggota tubuh badan bernilai 50 ribu dirham? ”

* Bina minda, halusi peribadi : Sesungguhnya anugerah dan kurniaanNya kepada manusia tidak terhitung. Walaubagaimana pun manusia sentiasa merasakan apa yang diperolehi masih lagi tidak mencukupi . Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki hari ini, kerana ada insan lain yang lebih sukar kehidupannya dan amat memerlukan.



DI SEBALIK KISAH GELAS VS DANAU

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Carian Google

Di Sebalik Kisah "Gelas VS Danau"


Pada perkongsian yang lalu, kita telah mengetahui kisah seorang guru sufi dan anak muridnya. Bagaimana guru tersebut membuat perbandingan antara gelas dan danau lalu yang mempunyai perkaitan masaalah dengan kehidupan. Kali ini saya ingin membawa para pembaca budiman dan suri bestari menyelusuri intisari dan iktibar di sebalik kisah teladan “GELAS VS DANAU”. 

PERJUANGAN MENUNTUT KESABARAN…
Hidup adalah perjuangan, anda akan menempuhi berbagai halangan, rintangan dan ujian, untuk menguji sejauhmana tahap keimanan diri. Dalam perjuangan memerlukan kesabaran. “ Barangsiapa yang diuji lalu bersabar, diberi lalu bersyukur,dizalimi lalu memaafkan dan menzalimi lalu beristighfar,maka bagi mereka keselamatan dan mereka tergolong dalam orang-orang yang memperolehi hidayah. (HR al-Baihaqi)
Sebagaimana kisah yang telah kita baca di atas, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya, kesucian hati adalah penentunya. Islam amat mementingkan persoalan hati kerana hatilah penentu buruk baik sesuatu perkara. Kita  dapat memahami  bahawa kesabaran, kejayaan dan kebahagiaan seseorang  individu itu berkait rapat dengan kekuatan jiwa atau kalbu. Jiwa yang diumpamakan seperti gelas atau pun seperti danau. Oleh yang demikian apa ingin disampaikan adalah berkisar “HATI” dan kesan-kesannya dalam kehidupan individu…

Sabar itu datangnya dari hati dan keimanan seseorang yang membuahkan sifat redha, tenang, teguh dan yakin. Sabar itu terlalu sukar dan amat berat. Sabar itu masalah hati, dengan solat kita dapat memperbaharui hati dan dapat terus berhubung dengan Allah meningkatkan kembali kesabaran kita dan meneguhkan keimanan. 
Orang yang yakin dengan takdir akan menerima apa jua yang Allah berikan kepadanya dengan meyakini apa yang terjadi pada dirinya adalah yang terbaik bagi dirinya. Sikap inilah yang akan melahirkan kekuatan jiwa, tidak kecewa, sedih, putus asa dan lain-lain.
Yakin dengan takdir Allah juga akan menjadi sumber kekuatan luarbiasa di mana dia terus berusaha, menggilap potensi yang ada dan bekerja keras. Orang inilah yang memiliki nilai diri yang amat tinggi. Musibah yang datang dihadapi dengan tenang kerana yang terjadi dengan kehendak-Nya jua. Tiada keraguan kerana telah berusaha,Allah jua yang menentukan.
Tiada penyesalan tentang masa lalu, dia meyakini dengan masa kini yang ditempuhi dan berani menghadapi hari esok. La haula wala Quwwata illa biLLah”. Tiada daya upaya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. Kekuatan itu dari Allah, dan Dia yang memberikan kekuatan pada diri kita.

KEKUATAN HATI (QALBU) …
Sebagaimana pesan Si Guru kepada muridnya dalam kisah di atas bahawa sebesar mana pun masalah yang dihadapi semuanya bergantung pada kekuatan hati. Jadikan jiwa sebesar danau… KEKUATAN HATI, JIWA MEMBUAHKAN KESABARAN.
Kekuatan,kebahagian dan kejayaan manusia bukan diukur melalui fizikal dan kelengkapan material semata, akan tetapi ianya terbina daripada gabungan antara kemampuan fizikal (jasad) dan kemantapan spiritual (roh). Kesepaduan dan keseimbangan antara kehebatan jasmani dan rohani akan meninggikan nilai martabat  dan harga diri seseorang itu. Imam Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin menjelaskan bahawa aspek roh di dalam diri manusia itu merangkumi istilah al-qalb (kalbu), al-nafs (jiwa) dan al-`aql (akal fikiran). 
Al-Ghazali menggunakan keempat-empat istilah iaitu roh, kalbu, jiwa dan akal bersifat rohaniah yang terdapat di dalam diri manusia dan merupakan jati diri , intipati atau hakikat sejati diri manusia. Menurut al-Ghazali lagi, aspek kerohanian yang istimewa inilah yang menyebabkan manusia dilantik sebagai khalifah untuk melaksanakan syariat Allah di atas muka bumi ini.
Unsur rohaniah inilah yang menghidupkan jasad manusia, juga berfungsi memberikan ciri kehebatan serta keunggulan manusia. Dalam jasad manusia ada sebentuk hati yang menentukan peribadi kita. Seperti mafhum hadis Rasulullah SAW : “ Sesungguhnya dalam tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging, bila baik nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya, dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya. Ketahuilah! Iaitulah Qalbu (hati).”( HR Bukhari Muslim). Qalbu itu sendiri bermaksud berubah-ubah. Begitulah sifat qalbu,kadang-kadang rasa benci,putus asa, dendam. Kadang-kadang rasa kasih,sabar, pemaaf. Semua yang berlaku berkaitan dengan iman yang boleh bertambah dan boleh berkurang. Sekiranya hati kita bersih, maka baik lah perilaku, jika kotor hati kita maka buruklah perangai kita.

Ada 3 peringkat hati seseorang manusia :
1. Hati paling rendah –yang mempunyai nafs al-amarah iaitu mempunyai kecenderungan memuaskan syahwat, mudah marah, tamak haloba, sombong, bongkak, suka dipuji, takutkan kesusahan dan mudah kecewa sehingga menyalahkan Allah kerana terbeban dengan masalah yang dihadapi. Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Dan aku tidak melepaskan hawa nafsunya, kerana nafsu itu menyuruh berbuat kejahatan kecuali siapa yang disayangi Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf : ayat 53)
2. Nafs al-Lawwamah – iaitu nafsu dan hati yang menasihati diri akan kefanaan dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Aku bersumpah dengan hari kiamat dan aku bersumpah dengan jiwa al-lawwamah iaitu yang amat menyesali dirinya.” (Surah al-Qiamah : 1-2). Hati ini jika sentiasa digilap dengan tasbih, istighfar dan zikrullah lama-kelamaan akan mencapai tahap “nafs al-mutmainnah”
3. Nafs al-Mutmainah – iaitu hati yang tenang damai. Firman Allah dalam surah al-Fajr : ayat 27-30 mafhumnya : “ Wahai (nafs) jiwa yang tenang(suci), kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai (Tuhan). Maka termasuklah kamu dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga.”  Hati yang mempunyai “nafs al-mutmainnah” sentiasa tenang menghadapi ujian kerana merindukan kesenangan di akhirat. Orang yang memiliki hati ini yakin dengan janji Allah, tenang ketika menghadapi masalah. Sebagaimana dalam surah Insyirah ayat 5-6 : “Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan, Sesungguhnya di samping kesukaran ada kemudahan”.

Di mana setiap kali diuji, mereka teringat janji-janji Allah berdasarkan hadis Qudsi (Riwayat Bukhari) yang bermaksud : “Aku sediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, tidak pernah dirasakan oleh hati”.

MEMBERSIHKAN HATI…
Kekuatan hati atau jiwa datangnya dari iman yang teguh. Manakala iman yang teguh itu datangnya dari hati yang bersih. Dengan hati yang bersih menjadikan seseorang itu bersifat redha, tenang, bersyukur dan yakin dengan ketentuan-Nya. Bagaimana untuk menyucikan kekotoran dan karat yang ada dalam hati kita?

Rasulullah SAW mengingatkan kita dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A berkata : Rasulullah SAW bersabda : “ Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan suatu dosa  terbentuklah bintik hitam di dalam hatinya. Apabila dia bertaubat, kemudian menghentikan dosa-dosanya dan beristighfar, maka bersihlah daripadanya bintik hitam itu. Dan apabila dia terus melakukan dosa, bertambahlah bintik hitam pada hatinya sehingga tertutuplah seluruh hatinya, itulah karat yang disebut Allah di dalam Kitab-Nya: “ Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang mereka usahakan telah menutup hati mereka”.( Surah al-Mutaffifin :14). (Hadis Riwayat al-Baihaqi).

Imam al-Ghazali pernah berkata, bahawa hati(qalbu) itu ibarat cermin. Ketika seseorang itu melakukan dosa atau maksiat, maka ada satu titik menodai hatinya. Semakin banyak dosa, semakin banyak titik itumenutupi hatinya. Jika sudah tertutup dengan banyak bintik hitam, hati yang ibarat cermin itu tidak mampu lagi digunakan untuk bercermin,oleh yang demikian kepekaan hatinya akan lenyap daripada dirinya. Maka dia tidak lagi mampu mengenali dosa, semakin jauh tersesat, berterusan melakukan dosa-dosa besar dan menjadikan dia jauh dari rahmat Allah…
Adapun hati itu ada 3 jenis keadaan, iaitu :
1. Hati yang bersih; akan merasa resah gelisah dan bersalah bahawa dia sudah melakukan dosa. Mudah sensitif dengan gerak geri laku perbuatannya.
2. Hati yang sakit; tidak akan merasa sensitif terhadap dosa dan kesalahan yang dilakukan. Walaupun masih sedar berbuat salah tetapi menangguhkan taubat dan istighfar.
3. Hati yang mati; hati yang gelap dan hitam diselebungi dosa, terus tersesat dengan melakukan dosa berterusan , halal dan haram tiada bezanya. 

Yang manakah gambaran hati kita yang sebenarnya???
Rasulullah SAW menganjurkan kita memperbaharui iman bertujuan untuk menyucikan hati, mengikat qalbu(hati) manusia kepada Allah kerana setiap dari kita sering melakukan kesalahan samada disedari atau tidak. Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Perbaharuilah iman kamu, Baginda ditanya : “Bagaimana kami boleh memperbaharui iman kami,Beliau menjawab : “Perbanyaklah mengucapkan kalimat “Laa Ilaha IllaLLah.” (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Melalui solat, istighfar,doa dan zikrullah,membaca al-Quran, memelihara perintahNya dengan sebaiknya, maka hati manusia menjadi lunak, lembut dan sentiasa berhubung dengan Allah SWT serta mendapat pertolongan dari-Nya. Ini telah dijelaskan melalui maksud Firman Allah SWT : “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Surah Muhammad : 7)
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan)solat.”(Surah al-Baqarah:45)



Semoga kita memperolehi kekuatan jiwa dengan membersihkan hati dan menjaganya selalu. Sedetik kita mahu kembali ke pangkuan Allah, Allah akan sambut kita dengan kasih sayang-Nya… Wallahu A’alam..


Sunday, 15 June 2014

GELAS VS DANAU

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Sumber Cerita : Kisah Teladan
Gambar : Carian Google

Gelas  VS  Danau …
Seorang guru sufi datang kepada seorang muridnya yang kelihatan murung sejak akhir-akhir ini.
"Kenapa kau selalu murung, nak? Bukankah banyak hal yang indah di dunia ini? Ke mana perginya wajah bersyukurmu? " si Guru bertanya.
"Guru..sejak akhir-akhir ini hidup saya penuh masalah. Terlalu sukar bagi saya untuk tersenyum. Masalah datang seperti tidak ada penghujungnya," jawab si murid.
Si Guru tersenyum mendengar penjelasan si murid . "Nak, ambil segelas air dan dua genggam garam. Bawalah ke mari. Biar saya perbaiki suasana hatimu itu."
Si murid pun bergerak perlahan tanpa semangat. Dia melaksanakan permintaan gurunya itu, lalu kembali lagi membawa gelas dan garam sebagaimana yang diminta.
"Cuba ambil segenggam garam dan masukkan ke dalam segelas air itu," kata Si Guru. "Setelah itu cuba kamu minum airnya sedikit."
Si murid pun melakukannya. Wajahnya kini terkejut kerana meminum air yang masin.
"Bagaimana rasanya?" tanya Si Guru.
"Masin dan perut saya menjadi mual," jawab si murid dengan wajah yang masih terkejut.
Si Guru tergelak melihat wajah muridnya itu, "Sekarang kamu ikut saya." Si Guru membawa muridnya ke danau yang berhampiran di tempat mereka.
"Ambil garam yang tersisa, dan tebarkan ke danau."
Si murid menebarkan segenggam garam yang tersisa ke danau, tanpa bicara. Rasa masin di mulutnya masih belum hilang. Ia ingin meludahkan rasa masin dari mulutnya, tapi tidak dilakukannya. Rasanya tidak sopan meludah di hadapan mursyid, itu yang difikirkannya.
"Sekarang, cuba kamu ambil sedikit air danau itu dan minum airnya" kata Si Guru sambil mencari batu yang cukup datar untuk didudukinya, berada di pinggir danau.


Si murid menangkupkan kedua tangannya, mengambil air danau dan membawanya ke mulutnya lalu meneguknya. Ketika air danau yang dingin dan segar mengalir di kerongkongnya, Si Guru bertanya kepadanya, "Bagaimana rasanya?"
"Segar, cukup segar sekali," kata si murid sambil mengelap bibirnya dengan telapak tangannya.
Tentu saja, danau ini berasal dari aliran sumber air di atas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti, air danau ini juga menghilangkan rasa masin yang tersisa di mulutnya.
"Terasakah rasa garam yang kamu tebarkan tadi?"
"Tidak sama sekali," kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi.
Si Guru hanya tersenyum memerhatikannya, membiarkan muridnya itu meminum air danau sampai puas.
“Nak, kata Sang Guru setelah muridnya selesai minum.
"Segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih. Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kamu alami sepanjang kehidupanmu itu sudah ditentukan oleh Allah, sesuai untuk dirimu. Jumlahnya tetap, tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian. Tidak ada satu pun manusia, walaupun dia seorang Nabi, yang bebas dari penderitaan dan masalah."
Si murid terdiam, mendengarkan.

"Tapi Nak, rasa `masin' dari penderitaan yang dialami itu bergantung kepada besarnya 'qalbu'(hati) yang menampungnya. Jadi Nak, supaya tidak merasa menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikan qalbu dalam dadamu itu menjadi sebesar danau."

Ikuti kisah selanjutnya di topik akan datang. Perkongsian mengenai perjuangan dalam kehidupan. Sama- sama kita nantikan... Salam Mawaddah. :)



Friday, 13 June 2014

Semurni Kasih…Sejambak Restu… Kasih Ayah & Ibu

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Carian Google

Salam diungkap pembuka bicara…
Dipanjatkan syukur hanya padaNya
Terjalin ukhuwwah menuju jalanNya…
Semoga kita diredhaiNya sentiasa…

Syukur yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta Rabbul Izzati, pemilik alam semesta dan seisi penghuninya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia kekasih Allah Rasulullah S.A.W dan para sahabat serta ahli keluarga baginda.

Semurni Kasih…Sejambak Restu… Betapa besarnya pengorbanan dan kasih sayang bagi insan yang bernama ayah dan juga ibu. Pernah diungkapkan dalam bait lagu, “Ayah dan Ibu…Ayah dan Ibu…Engkaulah permulaan kami… dapat melihat bulan dan matahari…Yang dikurniakan dari Ilahi...Ayah dan ibu lah, Mesti dihormati…”  Allah mentakdirkan ayah dan ibu sebagai sebab kelahiran kita di alam ini. Kepayahan, perit jerih pengorbanan mereka menjaga kita sejak di dalam kandungan dan seusia kelahiran, memberikan pendidikan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Adalah menjadi kewajipan setiap seorang anak mentaati selagi mana ianya tidak bertentangan dengan hukum Allah dan juga wajib menghormati ayah dan ibu kerana Allah SWT mengangkat tinggi kedudukan mereka di sisi Allah. Ini jelas dalam firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 36 yang bermaksud : “Dan sembahlah Allah, jangan kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dandengan kedua orang tua (kamu) hendaklah berbuat baik.” Kemudian Allah menegaskan lagi dalam firmanNya : “ Dan Tuhanmu telah memutuskan (memerintahkan),bahawa janganlah kamu menyembah melainkan kepada-Nya(sahaja). Dan dengan kedua orang tua (kamu)hendaklah berbuat baik.” (Al-Israk: 23).


‘Berbuat baiklah kepada ibu bapa’ adalah maksud dari firmanNya     وبالوالدين إحساناyang   memerintahkan kita agar sentiasa mencari keredhaan ibu bapa kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan keduanya. Seterusnya beramal bakti, menunaikan hak kedua mereka, mencurahkan kasih sayang serta tidak menyakiti hati mereka dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka semasa hayat mahupun yang telah meninggal dunia. Allah SWT berpesan dalam firmanNya yang bermaksud : “Dan berdoalah, ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani diriku sewaktu kecil dahulu.” (Al-Israk: 24)


Belajarlah untuk menjadi anak yang  berakhlak  baik dan belas ihsan kepada ibu bapa. Apakah wajar untuk menjadi ‘Si Tanggang Anak Derhaka’ setelah kita mula dewasa, mengenal erti kehidupan, menjadi seorang yang berjaya, ada pangkat dan harta. Itu semua tidak menjanjikan kebahagiaan selamanya, hanya sementara. Alangkah beruntung bagi mereka yang berbuat baik kepada ibubapa, bukan sahaja di dunia tetapi menyemai ganjaran di akhirat sana. Apa yang diharapkan ayah dan ibu bukanlah  hadiah wang ringgit kita tetapi di sebaliknya adalah ungkapan rindu dan untaian kasih sayang serta serumpun bakti anak-anak yang telah mereka besarkan. Ketika itu mereka teringat anak yang amat mereka sayangi, tidak rindukah pada ibu dan ayah yang sering menanti . 

Sekilas di hadapan mata tergambar kenangan bersama sewaktu anak –anak itu masih kecil minta dimanja dikasihi dipujuk mesra. Lalu menitis air mata kerinduan yang berpanjangan.Adakah si anak  dapat merasakan rintihan ayah dan ibu ini. Di manakah anak-anak yang amat mereka sayangi dan rindui? Hayatilah firman Allah Taala yang bermaksud: “Ibunya mengandungkannya dalam keadaan susah payah danmelahirkannya juga dalam keadaan susah payah.”(Al-Ahqaf:15) Allah SWT menegaskan lagi  dalam firmanNya dalam surah Luqman ayat 14 mafhumnya: “Ibunya mengandungkannya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan.”(Luqman: 14). Akhir kalam untuk semua… sayangi dan hormatilah ayah ibu, iringi doa sentiasa, ziarahi ketika ada, rindu bertamu terubat di hati, moga kita dirahmati Allah… Insya Allah..

Wednesday, 4 June 2014

SUSU IBU TERBAIK…

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Sumber Google

Assalamualaikum…
Alhamdulillah, saya berpeluang untuk menghadiri slot Tips Penyusuan Bagi Ibu Bekerja. Ianya anjuran majikan tempat saya bekerja dengan kerjasama Organisasi “Pump On The Go”. Pada saya ini merupakan perkongsian ilmu yang menarik dan berguna bagi para ibu dan bakal bergelar isteri juga ibu.

Slot disampaikan oleh Puan Nur Zuain Abdul Ghani, Consultant Advisor berkenaan kebaikan susu ibu. Susu ibu bersifat universal dan custom made . Sifatnya berubah mengikut suhu dan keperluan bayi. Ketika waktu panas, susu yang dikeluarkan menjadi cair. Manakala ketika cuaca sejuk , ianya berubah menjadi pekat.  Susu ibu merupakan makanan utama selama 6 bulan pertama (penyusuan ekslusif). Penyusuan ibu diteruskan selama 2 tahun bersama makanan pelengkap. Menurut pandangan Islam, disarankan menyusukan bayi sehingga bayi berusia 2 tahun (bagi yang mampu) berdasarkan Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 233 yang bermaksud:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang hendak menyempurnakan penyusuan itu: dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” 

Penceramah memberikan beberapa tips antaranya :
Tanda-tanda bayi lapar, ingin menyusu :
·         Bayi menghisap jari ;
·         Bayi mengecap bibir ;
·         Bayi gelisah, pusing ke kiri dan kanan ;
·         Bayi menangis.

Manakala faedah penyusuan susu ibu kepada bayi ;
·         Mengikat kasih sayang antara ibu dan anak.
·         Penyembuhan bagi ibu, setiap hisapan bayi akan mengecutkan rahim ibu.
·         Bayi lebih sihat, menguatkan antibodi badan dan mempunyai IQ tinggi.
·         Kulit bayi, pembentukan tulang, gigi yang cantik dan sihat.

Antara Tips Penyusuan Susu Ibu :
·        Lekapan dan posisi – lekapan yang betul apabila pipi bayi kembung ketika menyusu kerana bayi yang menghisap susu akan menyimpan di dalam mulut sebelum menelan susu. Manakala sebaliknya jika pipi masuk ke dalam bermakna bayi menyedut udara berbanding susu.

·        Sekiranya bayi tersedak atau tercungap ketika menyusu, ini menandakan pengeluaran susu yang banyak. Digalakkan menyusukan bayi dalam posisi  baring atau bersandar. Juga disarankan pam susu sebelum menyusukan bayi.

·        Ibu boleh mula membuat stok perahan susu selepas 2 minggu bersalin. Selepas tempoh itu , susu ibu sudah matang.

·        Jadual mengepam susu di pejabat setiap 3 jam sekali bagi ibu yang bekerja. Keadah power pumping boleh digunakan.

·    Ibu digalakkan banyak meminum air suam juga pemakanan sunnah untuk pengeluaran susu lebih banyak.



·        Minum air kosong  3 – 4.5 liter sehari.

·  Teknik simulasi, dengan mengepam selalu  bagi meransang dan menggalakkan pengeluaran susu ibu.

·   Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan, hanya selepas 6 jam dibenarkan untuk menyusukan bayi.



Semoga sedikit perkongsian ini dapat memberi manfaat dan ilmu kepada para pembaca… Insya Allah.




Tuesday, 3 June 2014

KEBERKATAN BULAN SYA'ABAN 

Suntingan & susunan oleh : Noor Azzah Mohd Yusof

Assalamualaikum wrt. wbt.

Masa terlalu pantas beredar. Kini kita berada dalam bulan Sya'aban.  Bulan Syaaban adalah antara 12 bulan Islam. Bulan ini dinyatakan mempunyai banyak kelebihan serta berlakunya peristiwa penting dalam Islam. Sya’aban adalah bulan latihan dan persediaan membersihkan diri dan memantapkan diri bagi Umat Islam menjelang Ramadan. Nabi Muhammad SAW ditanya oleh Usamah bin Zaid mengapa Rasulullah SAW melebihkan berpuasa pada Syaaban.

Baginda SAW menjawab dengan sabdanya: “Bahawa Syaaban ialah bulan yang selalu diabaikan oleh manusia, sedangkan pada Syaaban semua amalan manusia diangkat ke hadrat Allah. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sewaktu aku dalam keadaan berpuasa.”  
(Hadis Riwayat oleh An-Nasa’i dan Ahmad.)

Umat Islam digalakkan melakukan amalan-amalan sunat di bulan ini,  iaitu :
1. Memperbanyakkan puasa sunat
Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan ini amat digalakkan dan dianggap sebagai amalan soleh.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Aisyah r.a menyebut: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

2. Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
3. Bertaubat, memohon keampunan Allah dan kepada kedua Ibubapa.
4- Banyak melakukan amal kebaikan.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Pada malam Nisfu Sya’aban umat Islam dianjurkan agar melipatgandakan amalan soleh, elakkan permusuhan serta tidak melakukan apa yang dibenci dan ditegah oleh Allah. Hadis sahih Nabi s.a.w menyebut:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Bulan Syaaban telah merakam peristiwa- peristiwa penting, iaitu :

1. Penukaran Arah Kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram di Makkah.
Permulaan diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Hal ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu. Di mana golongan Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah dikeji dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW. Baginda menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT. Kemudian Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.

Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.

2. Peperangan Bani Mustaliq
Peristiwa ini berlaku pada Isnin hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.

Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, di mana kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.

Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.

Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, di antaranya ialah ramai di kalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.

"ROHANI DIANGKAT, AMAL DITINGKAT"


Monday, 2 June 2014

JOM JADI AGEN JUALAN DROPSHIP

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Google

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, hari ini saya diberi kesempatan untuk berkongsi info berkaitan BISNES DROPSHIP. Moga ianya memberi pencerahan kepada pembaca sebelum menjadi agen dropship.


AGEN DROPSHIP
Apa maksud dropship???

Ianya merupakan suatu perniagaan yang mudah iaitu penjualan sesuatu produk tanpa menanggung modal serta menyimpan stok.

Pengedar (agen) perlu mendaftar terlebih dahulu kepada pembekal (penjual). Seterusnya agen memperolehi maklumat dan gambar produk bagi tujuan promosi dan pemasaran produk samada melalui laman web, blog atau medium yang dirasakan sesuai. Kemudian agen mengurus tempahan dan bayaran dari pembeli kepada penjual.

Faedah Agen Dropship :

1-   Setiap individu berpeluang untuk menjalankan perniagaan.
2-   Boleh mengurus masa dengan baik dan dijalankan secara sambilan.
3-   Mengelakkan penyimpanan stok lama dan risiko kerugian.
4-   Membina jaringan perniagaan yang luas serta sokongan dari ahli kumpulan (agen).
5-   Mendapat komisyen yang berpatutan hasil setiap jualan.
6-   Perniagaan dropship boleh dijalankan secara online, menjimatkan masa dan tenaga.
7-   Pakej dan faedah tambahan bergantung pada pembekal masing- masing berdasarkan terma dan syarat tertentu.
8-   Segala urusan pembungkusan dan penghantaran produk diuruskan oleh pihak pembekal(penjual).



 Kaedah Droship :
 
  
a)   Dropshipper (Penjual)  : pemilik /penyimpan stok barang. 
b)   Agen (Anda)              : menjual stok dan mendapat komisen jualan.
c)   Pelanggan (Pembeli)    : membuat tempahan pembelian dari agen.    


TIPS BISNES DROPSHIP
1. Membuat kaji selidik jenis-jenis produk yang mendapat permintaan tinggi di pasaran. Ini untuk mengelakkan produk yang dipasarkan tidak mendapat sambutan dan keuntungan.

2. Anda sendiri meminati produk dropship yang ingin dijual. Selalunya produk tersebut  ada kaitan dengan diri anda.

3. Mengenalpasti sasaran jualan bagi produk yang ingin dipasarkan serta sasaran keuntungan bagi sesuatu produk melalui harga runcit dan jualan.

4. Menggunakan medium/platform jualan dan pemasaran produk yang bersesuaian seperti blog, facebook, website, mudah.my, e-bay, whatsApp dan lain-lain.

5. Perlu ada kesungguhan dan konsisten. Menggunakan pelbagai kaedah promosi serta menggunakan testimoni dari pembeli. Sentiasa mengemaskini maklumat produk bagi menunjukkan bisnes masih aktif dan mendapat sambutan.

------------------------------------------------------------------  

Sempena Ramadan & Syawal ini, Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) menawarkan peluang jana pendapatan “ PROJEK DUIT RAYA”.

Hanya dengan permulaan RM150 sahaja seumur hidup, anda berpeluang untuk mendapat pelbagai faedah dan bonus ebook.

Kami memerlukan agen dropship jualan pakej barangan puasa, rumah terbuka, pakej mudah masak untuk suri, produk pakej untuk sepanjang tahun dan musim raya.

Berminat boleh hubungi Pengurus Online ABDR :
Puan Noor Azzah Mohd Yusof
SMS/ Whatsapp : 0126343413