RAKAN FOLLOWERS

Thursday, 20 November 2014

MENGURUS PERBELANJAAN BULANAN

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : sumber google

Biasanya bila hampir tiba di penghujung bulan, kebanyakan kita memikirkan gaji atau perbelanjaan isi rumah. Sebahagian besar wang pendapatan kita bekerja digunakan untuk membayar pinjaman perumahan, peribadi dan kenderaan juga pinjaman pelajaran. Kos sara hidup juga semakin meningkat. Sekiranya perbelanjaan dan sumber kewangan tidak diurus dengan baik maka ia menyebabkan situasi  “poket kosong di pertengahan bulan gaji”.

Sewajarnya mendahulukan perbelanjaan untuk keperluan seisi keluarga dan tangguhkan sementara kehendak. Seeloknya sepuluh peratus (10%) wang pendapatan yang kita perolehi dijadikan simpanan. Sebagai contoh pendapatan bulanan sebanyak RM1,500. Maka RM150 daripada jumlah pendapatan tersebut adalah menjadi simpanan bulanan. Ianya penting sebagai imbalan kepada diri sendiri yang  penat lelah berusaha mencari rezeki.   

Sejak dahulu lagi sebelum berumahtangga saya telah menggunakan sistem ‘sampul’ dalam menguruskan perbelanjaan dan keperluan. Pengalaman hidup susah menjadikan saya lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan segala urusan perbelanjaan akan direkod dalam buku lejar. Keadaan ini memudahkan saya untuk mengenalpasti jumlah perbelanjaan sebenar dan menghadkan mana yang tidak perlu serta menyisihkan wang untuk waktu kecemasan walaupun gaji bulanan yang diterima adalah jumlah yang kecil jika mahu dibandingkan dengan komitmen dan pelbagai keperluan. Merekod perbelanjaan juga boleh membantu dalam merancang bajet keperluan di masa akan datang.

Apa yang saya lakukan setiap bulan, adalah wang pendapatan yang diterima saya agihkan ke dalam sampul yang berasingan mengikut keperluan dan jumlahnya. Perbelanjaan berdasarkan jumlah yang ditetapkan bagi mengelakkan bajet ‘tergelincir’ dari yang sepatutnya. Ambil semula contoh di atas, baki jumlah pendapatan RM1,500 setelah ditolak RM150 menjadi RM1,350. Kemudiannya diasingkan ke dalam sampul-sampul yang telah ditulis. 

Contohnya seperti berikut :
Sampul 1 : BARANG DAPUR (RM250)
Sampul 2 : BIL ELEKTRIK DAN AIR (RM200)
Sampul 3 : PENGASUH ANAK (RM300)
Sampul 4 : BROADBAND (RM100)
Sampul 5 : SEWA RUMAH (RM350)
Sampul 6 : RENEW ROADTAX * RM50 X 12 BULAN (RM 600)
Sampul 7 : PENYERTAAN QURBAN * RM42 X 12 BULAN (RM 500)
Sampul 8 : LAIN-LAIN (RM 58)

Sekiranya ada lebihan perbelanjaan dari setiap sampul, wang tersebut boleh dibawa ke bulan hadapan samada diletakkan dalam sampul berkenaan atau boleh dimasukkan lebihan itu dalam sampul (8) : Lain-lain. Bajet perbelanjaan juga boleh dikumpulkan hasil sumbangan dan perkongsian dari pasangan.

Alhamdulillah setakat ini ‘teknik sampul’ membantu saya dalam mengurus perbelanjaan. Adakalanya ketikanya berlaku kecemasan, saya terpaksa menggunakan wang simpanan untuk tujuan tersebut. Sebolehnya saya akan menggantikan semula wang simpanan yang telah digunakan pada bulan-bulan berikutnya serta menyelaras semula perbelanjaan bulanan. Moga perkongsian ini dapat membantu pengurusan perbelajaan bulanan keluarga.




Saturday, 8 November 2014

KOMUNIKASI HEBAT, HUBUNGAN TAMBAH ERAT



Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Google 

Assalamualaikum…
Selamat pagi dan salam ceria!

Para Pembaca yang dimuliakan,
Dalam sehari berapa kali anda mengucapkan ‘SAYANG’ kepada pasangan atau ibubapa atau anak-anak?
Mungkin ada yang berkata,
“Ucap banyak kali nanti jadi bosan” atau
“Dah tua-tua ni rasa janggal pula sebut perkataan sayang” atau
“Sayang di hati tak perlu ucap di mulut”
“Anak-anak tidak boleh dimanjakan, nanti pijak kepala”  dan pelbagai alasan lagi yang diberi.

Ucapan merupakan salah satu bentuk komunikasi. Ianya lahir dari hati kemudian diterjemah dalam bentuk perbuatan atau kata-kata. Komunikasi mengelakkan jurang dan salah faham, juga mengeratkan hubungan. Ucapan tidak memerlukan kos, hanya perlukan keikhlasan. Kesannya cukup mendalam di hati.

Bagi pasangan yang bekerja, tidak salah mengucapkan terima kasih dan ‘saya sayang awak’ melalui pesanan ringkas (sms). Sekali sekala buat temujanji makan untuk luangkan masa. Boleh juga gunakan teknik ‘nota kecil’ yang diletakkan di dalam bekal ke pejabat, juga di peti ais. Mungkin boleh juga tampal di dalam kereta pasangan. Sudah tentu pasangan akan tersenyum sepanjang perjalanan dan membuatkan si dia teringat-ingat momen indah bersama. Nota kecil juga boleh digunakan untuk memujuk ketika si dia merajuk. 


Malah, nota kecil juga boleh digunakan untuk memberi semangat kepada anak-anak. Ada ketika pasangan kita bertugas di luar daerah. Tinggalkan nota berupa nasihat, motivasi dan pesanan untuk ditampal di bilik tidur atau bilik belajar anak-anak. Ibu atau ayah ambil peranan sebagai tukang tampal pada waktu-waktu . Bunyinya macam pelik dan kelakar akan tetapi memberi kesan terhadap perkembangan emosi dan mental anak-anak.

Setiap hujung bulan pula diperuntukkan masa untuk membawa anak-anak bercuti atau pulang ke kampung  berjumpa datuk dan nenek juga saudara mara. Bagi yang sentiasa sibuk dengan tugasan luar tidak berkesempatan setiap hujung bulan, luangkan masa untuk menghubungi ayah ibu. Mendengar suara anak pun mampu buat ayah ibu rasa terhibur.



Fahamilah perasaan insan-insan yang ada di sekeliling kita. Hargai mereka selagi ada dan masih belum terlambat bagi yang belum lakukannya. Cipta ruang dan peluang komunikasi dengan pelbagai cara yang lebih kreatif. KOMITMEN ANDA BUKTI KASIH SAYANG. KOMUNIKASI HEBAT, HUBUNGAN TAMBAH ERAT.  INSYA ALLAH… 



Monday, 3 November 2014

AIR POSITIF ATAU NEGATIF

Teks :  Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Google

Maksud firman Allah S.W.T : “Dan KAMI jadikan daripada air, segala sesuatu yang hidup” (Surah Al-Anbia, ayat 30 ).

Air merupakan sumber utama hidupan yang ada di bumi . Tanpa air tiada lah kehidupan. Air mempunyai unsur molekul atau Kristal yang terdiri dari dua atom hydrogen dan atom oksigen. Air digunakan sebagai minuman dan juga untuk membersihkan.

Tubuh manusia terdiri daripada 75% air. Justeru kita memerlukan air yang banyak untuk kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan. Air yang kita minum sebenarnya mempengaruhi sifat dalaman dan mempengaruhi tingkahlaku. Ini adalah kerana badan manusia terdiri daripada unsur cecair(air). Molekul air yang kita minum akan menyerap ke dalam molekul darah tubuh badan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah sifat unik air yang mampu merakam getaran. Molekul yang terkandung di dalam air berubah-ubah mengikut keadaan getaran yang diterima. Oleh sebab itu, air yang dibacakan ayat al-Quran dan dibacakan doa mampu bertindak  sebagai merawat dan memberi tindakbalas positif kepada tubuh badan dalaman dan luaran. Tubuh badan terasa sihat cergas dan bertenaga setelah meminumnya. Jelas perbezaannya sebelum dan selepas meminum air yang mengandungi molekul bacaan ayat al-Quran dan doa. Ini terbukti mengapa adanya pelbagai produk air ruqyah dan rawatan di pasaran. Sememangnya kita juga boleh membacakan air dengan ayat al-Quran dan doa yang dihajati untuk ahli keluarga. Sudah tentu lebih berkesan, niat dari hati ke hati. Begitu juga sebaliknya jika air diperdengarkan dengan kata-kata yang hina serta muzik yang membingitkan. Kesannya juga tentu meresahkan bukan mendamaikan.

Kita mungkin tidak sedar, selama ini melakukannya. Situasi ini sering berlaku di kedai makan atau restoran. Bila mana kita membuat pesanan minuman, air tersebut terdedah di atas meja tidak ditutup sedangkan ketika itu kita sedang bercakap sesuatu yang tidak baik atau pun menceritakan hal keburukan orang lain. Sekiranya bukan kita yang melakukan, akan tetapi suasana persekitaran juga mempengaruhi. Air tersebut merakam segala percakapan kita.. Bayangkan perkataan yang tidak elok itu tadi telah diserap ke dalam air yang kemudiannya diminum. Sudah tentu memberikan gambaran yang sama kepada dalaman kita IAITU TINDAKBALAS YANG NEGATIF.

Indahnya Islam itu kerana telah mengajar umatnya menjaga adab ketika makan dan minum.  Dimulakan dengan membaca basmalah dan doa ketika hendak minum atau makan serta tidak berkata-kata sesuatu yang tidak elok di hadapan makanan dan minuman. Kerana Islam itu fitrahnya bersih, indah dan sempurna di segenap aspek kehidupan. Cuma kita yang tidak mengamalkan sepenuhnya apa yang telah dibawa oleh Islam itu sendiri. Marilah muhasabah diri. Pastikan air yang hendak diminum ditutup tidak terdedah dan berkatalah yang baik-baik… Sesungguhnya AIR pandai berkomunikasi. Ianya mampu bertindak secara POSITIF atau NEGATIF. Tubuh badan ini adalah amanah Allah untuk kita jaga sebaiknya. Semoga pesanan ini menjadi peringatan kita bersama. Insya Allah.






Saturday, 1 November 2014

PENGALAMAN SENDIRI : BISNES TANPA MODAL (DROPSHIP)

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar :  Google

Sebelum ini saya tidak pernah mendengar perkataan dropship apatah lagi  untuk memahami maksudnya.Saya antara orang yang suka berbisnes. Jatuh bangun pahit manis bisnes dirasai, bertukar dari satu produk ke produk yang lain. Tidak kurang juga bisnes MLM. Walau apa pun berlaku, minat saya dalam bisnes tidak terhenti di situ. Saya mula tidak senang duduk mencari produk baru untuk diniagakan. Sehingga saya terbaca artikel oleh pakar kewangan dalam majalah Mingguan Wanita berkenaan bisnes dropship sangat mudah dan tidak memerlukan modal malah menjimatkan masa dan tenaga.

Setelah mendapat maklumat berkaitan dropship, saya mula membuat carian google dan akhirnya menemui ABDR ( Akademi Bekerja di Rumah). Pakej yang ditawarkan sangat menarik. Bukan hanya suri rumah yang menyertai bahkan ramai ahlinya di kalangan suri bekerjaya dan mempunyai latarbelakang pendidikan yang hebat.

Sejak menyertai ABDR, saya mula memahami bagaimana bisnes dropship dijalankan dan mendapat respon yang baik dari rakan-rakan. ABDR menawarkan pelbagai produk dropship iaitu makanan, telekung, makanan sunnah dan produk Islami. Produk dropship yang digemari pelanggan adalah Pakej Nasi Arab Al-Bayt. 

Bermula dari ABDR juga saya mula menjadi ejen dropship cadar cotton patchwork kemudian yang terkini adalah produk makanan keluaran Sangat Sedap dan produk supplement kesihatan Inayah Beauty Booster. Bisnes dropship sangat mudah kerana saya hanya menguruskan tempahan dan pembayaran pelanggan secara atas talian (online) sahaja tanpa perlu bersusah payah melakukan pembungkusan dan penghantaran stok kepada pembeli. Cara ini sesuai bagi suri yang sibuk menguruskan rumahtangga juga bekerja di samping itu dapat menjana pendapatan sampingan diri juga keluarga.

Cuma apa yang saya lihat sedikit kekurangan dan kelemahan bisnes dropship ini, iaitu kecuaian dari pihak pembekal bila mana tidak mengamalkan khidmat pengurusan yang cekap. Seperti yang saya alami sendiri, butiran penghantaran tidak lengkap menyebabkan produk yang dipesan oleh pelanggan lewat tiba. Pihak pembekal tidak mengambil inisiatif untuk menghubungi pelanggan apabila produk yang dipesan tidak dapat dihantar seperti yang ditetapkan. Hal ini menimbulkan masalah bagi pihak dropshipper (ejen).
 

Isu lain yang timbul, apabila pihak pembekal menghantar produk pesanan yang kurang kualitinya. Ada kesan koyak pada produk atau kerosakan. Pihak pembekal beranggapan pelanggan akan menerima sahaja barang tersebut, kerosakan yang berlaku bukan tanggungjawab pembekal setelah bayaran dan penghantaran dibuat. Ini salah satu sikap tidak bertanggungjawab dan mengaut keuntungan tanpa mengira hak pelanggan.

Bagi yang ingin menceburi bisnes dropship ini perlu persiapkan diri dengan ilmu, kerana cabaran mengendalikannya tidak kurang hebat. Pastikan status pihak pembekal yang ingin kita pilih untuk bisnes dropship. Terma dan syarat yang diberikan tidak menjerat peniaga dropship. Ada setengahnya pula mengenakan bayaran pendaftaran dropship yang tidak munasabah. Peniaga dropship juga perlu sedia dengan pelanggan yang mempunyai pelbagai kerenah dan ragam. Ada setengah pelanggan tidak tahu bagaimana membuat pembayaran secara online dan tiada akaun perbank internet. Pelanggan perlu diberitahu bagaimana membuat transaksi melalui mesin atm atau kaunter bank. 



Biarpun bisnes dropship ada cabaran dan kelemahannya, bisnes ini menjadi satu fenomena yang mendapat sambutan ramai. Malah kini, ramai pengusaha produk atau pembekal mencari ejen dropship bagi mempromosikan barang jualan dan memudahkan operasi perniagaan dijalankan serta menjimatkan kos. Bisnes dropship sangat membantu peniaga yang tidak mempunyai modal besar selain pengurusan yang cepat dan mudah. Apa yang penting adalah cara pelaksanaan yang baik menepati keutamaan dan hak pengguna. Sesiapa sahaja mampu melakukan bisnes dropship, segalanya bergantung kepada minat, kesungguhan dan kepakaran masing-masing.