Semurni Kasih…Sejambak Restu… Kasih Ayah & Ibu

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Carian Google

Salam diungkap pembuka bicara…
Dipanjatkan syukur hanya padaNya
Terjalin ukhuwwah menuju jalanNya…
Semoga kita diredhaiNya sentiasa…

Syukur yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta Rabbul Izzati, pemilik alam semesta dan seisi penghuninya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia kekasih Allah Rasulullah S.A.W dan para sahabat serta ahli keluarga baginda.

Semurni Kasih…Sejambak Restu… Betapa besarnya pengorbanan dan kasih sayang bagi insan yang bernama ayah dan juga ibu. Pernah diungkapkan dalam bait lagu, “Ayah dan Ibu…Ayah dan Ibu…Engkaulah permulaan kami… dapat melihat bulan dan matahari…Yang dikurniakan dari Ilahi...Ayah dan ibu lah, Mesti dihormati…”  Allah mentakdirkan ayah dan ibu sebagai sebab kelahiran kita di alam ini. Kepayahan, perit jerih pengorbanan mereka menjaga kita sejak di dalam kandungan dan seusia kelahiran, memberikan pendidikan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi.

Adalah menjadi kewajipan setiap seorang anak mentaati selagi mana ianya tidak bertentangan dengan hukum Allah dan juga wajib menghormati ayah dan ibu kerana Allah SWT mengangkat tinggi kedudukan mereka di sisi Allah. Ini jelas dalam firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 36 yang bermaksud : “Dan sembahlah Allah, jangan kamu sekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun. Dandengan kedua orang tua (kamu) hendaklah berbuat baik.” Kemudian Allah menegaskan lagi dalam firmanNya : “ Dan Tuhanmu telah memutuskan (memerintahkan),bahawa janganlah kamu menyembah melainkan kepada-Nya(sahaja). Dan dengan kedua orang tua (kamu)hendaklah berbuat baik.” (Al-Israk: 23).


‘Berbuat baiklah kepada ibu bapa’ adalah maksud dari firmanNya     وبالوالدين إحساناyang   memerintahkan kita agar sentiasa mencari keredhaan ibu bapa kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan keduanya. Seterusnya beramal bakti, menunaikan hak kedua mereka, mencurahkan kasih sayang serta tidak menyakiti hati mereka dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka semasa hayat mahupun yang telah meninggal dunia. Allah SWT berpesan dalam firmanNya yang bermaksud : “Dan berdoalah, ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani diriku sewaktu kecil dahulu.” (Al-Israk: 24)


Belajarlah untuk menjadi anak yang  berakhlak  baik dan belas ihsan kepada ibu bapa. Apakah wajar untuk menjadi ‘Si Tanggang Anak Derhaka’ setelah kita mula dewasa, mengenal erti kehidupan, menjadi seorang yang berjaya, ada pangkat dan harta. Itu semua tidak menjanjikan kebahagiaan selamanya, hanya sementara. Alangkah beruntung bagi mereka yang berbuat baik kepada ibubapa, bukan sahaja di dunia tetapi menyemai ganjaran di akhirat sana. Apa yang diharapkan ayah dan ibu bukanlah  hadiah wang ringgit kita tetapi di sebaliknya adalah ungkapan rindu dan untaian kasih sayang serta serumpun bakti anak-anak yang telah mereka besarkan. Ketika itu mereka teringat anak yang amat mereka sayangi, tidak rindukah pada ibu dan ayah yang sering menanti . 

Sekilas di hadapan mata tergambar kenangan bersama sewaktu anak –anak itu masih kecil minta dimanja dikasihi dipujuk mesra. Lalu menitis air mata kerinduan yang berpanjangan.Adakah si anak  dapat merasakan rintihan ayah dan ibu ini. Di manakah anak-anak yang amat mereka sayangi dan rindui? Hayatilah firman Allah Taala yang bermaksud: “Ibunya mengandungkannya dalam keadaan susah payah danmelahirkannya juga dalam keadaan susah payah.”(Al-Ahqaf:15) Allah SWT menegaskan lagi  dalam firmanNya dalam surah Luqman ayat 14 mafhumnya: “Ibunya mengandungkannya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan.”(Luqman: 14). Akhir kalam untuk semua… sayangi dan hormatilah ayah ibu, iringi doa sentiasa, ziarahi ketika ada, rindu bertamu terubat di hati, moga kita dirahmati Allah… Insya Allah..

Comments