BINA MINDA, HALUSI PERIBADI

Teks Ulasan : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Carian Google

BINA MINDA, HALUSI PERIBADI

Assalamualaikum…
Alhamdulillah, masih diberi kelapangan untuk berkongsi ilmu. Topik masih lagi berkisar tentang kisah teladan. Sumbernya saya perolehi dari buku : Keajaiban Firasat – 63 Kisah Pengubat Jiwa, Muhadir Haji Joll, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Saya mengambil beberapa kisah dari buku tersebut untuk tatapan kita semua dan saya nukilkan sedikit ulasan dan iktibar di pengakhiran kisah… secebis peringatan buat kita moga tidak alpa dengan tipu daya duniawi.

Kisah 1 :  Di mana Kampung Paling Dekat ”

Suatu hari, ketika berjalan di padang pasir , seorang tentera bertemu dengan Ibrahim bin Adham. Dia bertanya, “Kamu seorang hamba sahaya?” Ibrahim menjawab, “Benar.” Dia bertanya lagi , “ Di mana kampung paling dekat dari sini?” Ibrahim menjawab sambil menunjukkan kea rah tanah perkuburan, “Itu, di sana.” Tentera tersebut berkata, “Yang aku cari adalah kampung, bukan kubur.” Oleh sebab rasa dipermainkan, tentera tersebut memukul kepala Ibrahim dengan cemetinya sehingga berdarah. Dia kemudiannya mengheret Ibrahim dan membawanya ke kota. Sampai di kota, kawan-kawan tentera tersebut bertanya, “Apa yang terjadi?” Dia menceritakan apa yang telah terjadi di antara dirinya dan Ibrahim. Kawan-kawannya berkata, “Lelaki ini adalah Ibrahim bin Adham.” Disebabkan Ibrahim bin Adham dikenali sebagai seorang yang kuat beribadah, tentera tersebut berasa takut, lalu turun dari kudanya dan mencium kedua-dua tangan dan kaki Ibarahim serta meminta maaf atas kesalahannya. Mereka bertanya kepada Ibrahim, “Kenapa kamu mengaku sebagai hamba sahaya?” Ibrahim menjawab, “Dia tidak bertanya tentang siapa majikanku, tetapi bertanya adakah aku seorang hamba sahaya. Aku mengatakan benar kerana aku adalah hamba kepada Allah. Ketika dia memukul kepalaku hingga berdarah, aku terus berdoa agar dia masuk ke dalam syurga.” Kawan-kawannya bertanya, “ Kenapa begitu sedangkan dia telah memukulmu?” Ibrahim menjawab, “Aku tahu bahawa Allah telah memberikan aku pahala kerana pukulannya. Aku tidak ingin dia mendapat keburukan disebabkan aku, sedangkan aku mendapat kebaikan disebabkannya.”

* Bina minda, halusi peribadi : Orang yang berperibadi tinggi sentiasa menyebarkan ion-ion positif kepada orang lain. Tidak kira apa orang lain lakukan terhadapnya, dia masih mampu tersenyum malah mendoakan kebaikan orang tersebut. Di situlah dia membina aura positif dan kekuatan dirinya.


Kisah 2 : “ Lengan Baju Kanan yang Sempit ”

Beberapa orang yang dengki kepada Imam Syafi’e mengetahui bahawa dia telah menghantar pakaiannya untuk dijahit oleh seorang tukang jahit. Mereka datang kepada tukang jahit itu dan cuba menghasutnya. Tukang jahit tersebut akhirnya termakan hasutan mereka itu. Dia menjahit lengan kanan baju Imam Syafi’e dengan agak sempit supaya Imam Syafi’e susah untuk memasukkan tangan kanannya dan mengeluarkannya. Untuk lengan kiri, dia menjahitnya selebar-lebarnya. Ketika baju tersebut diserahkan kepada Imam Syafi’e, dia berkata kepada tukang jahit, “Semoga Allah membalas kebaikanmu dengan kebaikan. Engkau telah menyelesaikan masalah yang ku hadapi. Selama ini jika menulis, lengan baju kananku selalu kotor terkena dakwat. Sekarang kerana engkau telah menjahitnya agak sempit, maka aku tidak perlu lagi menggulung lengan bajuku ke atas dan selamatlah ia daripada terkena dakwat. Dengan lengan baju kiri yang lebar ini pula akan menghilangkan kepayahanku membawa kitab. Aku boleh meletakkan kitab-kitabku di dalamnya.”

* Bina minda, halusi peribadi : Perasaan iri hati hasad dengki adalah racun dalam diri. Jika perasaan ini tidak dikawal, lambat laun ianya akan menghancurkan diri sendiri. Apa jua yang berlaku, cuba didik diri dari sesuatu yang berbentuk negatif kepada sisi positif. Adakala sesuatu itu kelihatan tidak elok pada pandangan kita akan tetapi membawa seribu hikmah dan kebaikan tanpa kita sedari.


Kisah 3 : “ Kekayaan yang Tidak Disedari ”

Seorang lelaki mengeluh kerana kemiskinan dan kesusahan yang dihadapinya kepada seorang soleh. Orang soleh itu bertanya kepadanya, “Mahukah kamu menukarkan kedua-dua matamu dengan 10 ribu dirham ? ” “ Tidak” jawabnya. “Bagaimana jika kamu diberi 10 ribu dirham tetapi sanggup menjadi bisu? ” tanya orang soleh itu lagi.  “Itu lagi saya tidak mahu, “ jawabnya. Orang soleh terus bertanya, “Mahukah kamu menukarkan kedua-dua tangan dan kakimu dengan 20 ribu dirham?” Dia menjawab, “Tidak , tidak.” Orang soleh itu menasihatinya, “Apakah kamu tidak malu dan mengeluh kepada Allah sedangkan Allah telah memberikan kepada kamu anggota tubuh badan bernilai 50 ribu dirham? ”

* Bina minda, halusi peribadi : Sesungguhnya anugerah dan kurniaanNya kepada manusia tidak terhitung. Walaubagaimana pun manusia sentiasa merasakan apa yang diperolehi masih lagi tidak mencukupi . Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki hari ini, kerana ada insan lain yang lebih sukar kehidupannya dan amat memerlukan.



Comments