PENGENALAN

PENGENALAN DIRI

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof

Bismillahhirrahmanirrahim…
Assalamualaikum...  

Nama diberi Noor Azzah Binti Mohd Yusof. Dilahirkan di Tawau Sabah tanggal 14 September 1978.  Saya merupakan anak pertama dan mempunyai 2 orang adik lelaki dan seorang perempuan.  Ibu bapa saya berasal daripada Selangor. Ketika saya dilahirkan, ayah saya adalah seorang guru yang berkhidmat di Sabah. Ibu seorang surirumah. Walau bagaimanapun sebahagian besar zaman kanak-kanak dan remaja saya adalah di Selangor, setelah ayah kembali berkhidmat di semenanjung. 

Pendidikan terakhir saya pada 2005 dalam pengkhususan Bahasa Arab di UIAM. Sebelum itu saya telah mengikuti Diploma Pengajian Islam dan Pendidikan di Kolej Islam Darul Ehsan yang kini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor di Bangi.  Sekarang saya bekerja di sebuah IPTS di Selangor sejak 2010. Sejak itu saya terlibat dalam penerbitan dan mula menulis.

Alhamdulillah, setelah melalui pelbagai ujian getir dalam kehidupan, Allah mengurniakan saya teman hidup pada usia 35 tahun . Tanggal 27 Mei 2013 termeterai lafaz. Kini sedang menanti kelahiran anak sulong kami. Dijangka melahirkan anak pada Julai 2014. Walaupun sering berjauhan dengan suami disebabkan tuntutan kerja dan tanggungjawab lain, saya bersyukur kerana dianugerahkan seorang suami yang penyayang, bertanggungjawab dan boleh membimbing saya. Pengurusan emosi dan diri amat penting dalam rumahtangga apabila menghadapi situasi begini. Memahami apa yang dirasakan oleh para isteri yang berjauhan dengan suami, banyak faktor-faktor lain yang perlu diambil kira bagi memastikan rumahtangga bahagia sejahtera. 

Selepas saya menamatkan pelajaran pada tahun 2005, saya telah berkhidmat dengan pelbagai tempat. Pernah menjadi pendidik tahun 1999-2001. Walaubagaimana pun selepas itu, saya berkhidmat di luar bidang kelayakan yang sebenar. Bersyukur atas pengalaman yang terlalu berharga sukar diperolehi , mengajar saya erti kehidupan, suka duka susah senang pahit manis ditempuhi , mengenali pelbagai ragam dan watak manusia. Saya gagahkan diri menghadapi apa jua di hadapan. Gaji yang diterima pada ketika itu tidak setimpal dengan kelayakan saya ada. Saya juga terpaksa menunda bayaran pinjaman PTPTN. Dalam masa yang sama saya juga mengalami beberapa masalah kesihatan. Pernah setahun mengganggur disebabkan kesihatan yang tidak mengizinkan. Pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan. Apa pun pengalaman lalu adalah inspirasi dan kekuatan untuk terus berdiri dan mengorak langkah hingga ke hari ini. Semua yang berlaku adalah ketentuanNya dan ada hikmahnya.

Sejak menuntut di universiti sehingga kini saya melakukan pelbagai bisnes sambilan, antaranya membuat kuih karipap untuk jualan kantin sekolah, membuat biskut , menyertai beberapa bisnes MLM, mengambil tempahan kraf felt dan chocolate homemade,mengajar ngaji dan tuisyen  . 

Sejak zaman kanak-kanak saya memang suka membaca majalah dan buku. Boleh dikatakan wang saku saya gunakan untuk membeli majalah dan buku. Adakalanya menyertai peraduan yang menawarkan hadiah buku serta meminjam buku dan majalah daripada rakan-rakan.  Meningkat remaja minat ini makin berkembang, mula membaca dan menyimpan koleksi novel. Setelah itu, saya cenderung meminati bahan bacaan ilmiah dan motivasi, menginjak dewasa dugaan datang bersilih ganti, saya hampir putus harapan dan rebah. Cuba membina kekuatan diri setelah jatuh, bangun semula dan mengorak langkah perlahan-lahan. Alhamdulillah Allah beri kekuatan dan membina harapan baru. Sepanjang kehidupan ini banyak berdikari. Sejak kecil memang terbiasa dengan kesusahan. 

Walaupun agak sibuk dengan tugasan di pejabat, saya peruntukkan masa hujung minggu untuk fokus kepada bisnes. Bila ada kesempatan di sebelah malam saya cuba untuk menyiapkan tempahan. Kesihatan sedikit terganggu apabila banyak tempahan. Saya cuma mempunyai 2 hari sahaja khusus untuk bisnes. Bagi memastikan  kesihatan dan kerjaya saya terurus, saya tidak lagi mengambil tempahan, melainkan tempahan tersebut atas permintaan khas dan boleh disiapkan tempoh masa yang panjang (tidak tergesa-gesa). Kini setelah berkahwin, urusan harian saya selepas pejabat lebih tertumpu pada rumahtangga. Minat saya dalam bisnes tidak pernah luntur, awal kehamilan masih lagi menjual makanan di tempat kerja secara sambilan. Meningkat trimester kehamilan saya mengalami alahan dan terpaksa berhenti berniaga.

Bisnes memang minat saya sejak menuntut di universiti. Asalnya untuk mencari wang saku semasa belajar dan tidak mahu membebankan keluarga, seterusnya untuk membayar pinjaman PTPTN dan membantu ibu, adik beradik. Kini saya berharap, moga suatu hari nanti saya boleh menumpukan urusan rumahtangga sepenuhnya, dalam masa yang sama memiliki dan mengurus perniagaan sendiri, mempunyai ruang waktu bersama anak-anak dan keluarga sambil menjana kewangan yang stabil untuk masa hadapan diri dan keluarga, Insya-Allah. Usaha , yakin dan tawakkal tanpa jemu, Insya - Allah berjaya. Moga Allah segala permudahkan urusan dan niat yang murni ini. 

 BIODATA
Nama : Noor Azzah Binti Mohd Yusof
Tarikh Lahir : 14 September 1978
Tempat Lahir : Tawau , Sabah
Status : Berkahwin

PENDIDIKAN
1.  Ijazah Sains Kemanusiaan (Pengkhususan Bahasa Arab) -UIAM
2. Diploma Pengajian Islam dan Pendidikan - KISDAR

PENGALAMAN KERJA
  • ·        Pekerja Sementara Kilang Sapura
  • ·        Mewarna Batik
  • ·        Guru KAFA & Guru Sandaran Sek.Men.Agama 
  • ·        Pembantu Pentadbiran di Pejabat Pembangunan - UIAM
  • ·        Pembantu Pentadbiran Pejabat Alumni - UIAM
  • ·        Bekerja di kantin sekolah
  • ·        Kerani di Bahagian Pentadbiran & Perhubungan Awam,Koperasi Petronas
  • ·        Kerani di Bahagian Pinjaman Ahli, Koperasi Petronas
  • ·        Kerani Purchasing di Canon Opto Sdn.Bhd
 PENGALAMAN BISNES, ANTARANYA :

  • ·        Menjual kuih & makanan
  • ·        Mary Kay
  • ·        Zhulian
  • ·        HPA
  • ·        Produk Kordial Habbatus Sauda'
  • ·        Chocolate Homemade
  • ·        Tempahan Biskut Raya
  • ·        Kraf Felt
  • ·        Tuisyen Bahasa Arab & Kelas Mengaji
  • ·        Produk dropship 

Comments