KEBERKATAN BULAN SYA'ABAN 

Suntingan & susunan oleh : Noor Azzah Mohd Yusof

Assalamualaikum wrt. wbt.

Masa terlalu pantas beredar. Kini kita berada dalam bulan Sya'aban.  Bulan Syaaban adalah antara 12 bulan Islam. Bulan ini dinyatakan mempunyai banyak kelebihan serta berlakunya peristiwa penting dalam Islam. Sya’aban adalah bulan latihan dan persediaan membersihkan diri dan memantapkan diri bagi Umat Islam menjelang Ramadan. Nabi Muhammad SAW ditanya oleh Usamah bin Zaid mengapa Rasulullah SAW melebihkan berpuasa pada Syaaban.

Baginda SAW menjawab dengan sabdanya: “Bahawa Syaaban ialah bulan yang selalu diabaikan oleh manusia, sedangkan pada Syaaban semua amalan manusia diangkat ke hadrat Allah. Maka aku sangat suka sekiranya amalanku diangkat sewaktu aku dalam keadaan berpuasa.”  
(Hadis Riwayat oleh An-Nasa’i dan Ahmad.)

Umat Islam digalakkan melakukan amalan-amalan sunat di bulan ini,  iaitu :
1. Memperbanyakkan puasa sunat
Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan ini amat digalakkan dan dianggap sebagai amalan soleh.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Aisyah r.a menyebut: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

2. Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
3. Bertaubat, memohon keampunan Allah dan kepada kedua Ibubapa.
4- Banyak melakukan amal kebaikan.

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Pada malam Nisfu Sya’aban umat Islam dianjurkan agar melipatgandakan amalan soleh, elakkan permusuhan serta tidak melakukan apa yang dibenci dan ditegah oleh Allah. Hadis sahih Nabi s.a.w menyebut:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Bulan Syaaban telah merakam peristiwa- peristiwa penting, iaitu :

1. Penukaran Arah Kiblat dari Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis ke arah Masjidil Haram di Makkah.
Permulaan diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Hal ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu. Di mana golongan Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.

Umat Islam telah dikeji dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat telah mengadu kepada Rasulullah SAW. Baginda menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT. Kemudian Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.

Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.

2. Peperangan Bani Mustaliq
Peristiwa ini berlaku pada Isnin hari kedua Syaaban tahun ke-5 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 700 tentera pejalan kaki dan 30 tentera berkuda menuju ke wilayah Bani al-Mustaliq.
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.

Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, di mana kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.

Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.

Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, di antaranya ialah ramai di kalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.

"ROHANI DIANGKAT, AMAL DITINGKAT"


Comments