RAKAN FOLLOWERS

Saturday, 8 November 2014

KOMUNIKASI HEBAT, HUBUNGAN TAMBAH ERAT



Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Google 

Assalamualaikum…
Selamat pagi dan salam ceria!

Para Pembaca yang dimuliakan,
Dalam sehari berapa kali anda mengucapkan ‘SAYANG’ kepada pasangan atau ibubapa atau anak-anak?
Mungkin ada yang berkata,
“Ucap banyak kali nanti jadi bosan” atau
“Dah tua-tua ni rasa janggal pula sebut perkataan sayang” atau
“Sayang di hati tak perlu ucap di mulut”
“Anak-anak tidak boleh dimanjakan, nanti pijak kepala”  dan pelbagai alasan lagi yang diberi.

Ucapan merupakan salah satu bentuk komunikasi. Ianya lahir dari hati kemudian diterjemah dalam bentuk perbuatan atau kata-kata. Komunikasi mengelakkan jurang dan salah faham, juga mengeratkan hubungan. Ucapan tidak memerlukan kos, hanya perlukan keikhlasan. Kesannya cukup mendalam di hati.

Bagi pasangan yang bekerja, tidak salah mengucapkan terima kasih dan ‘saya sayang awak’ melalui pesanan ringkas (sms). Sekali sekala buat temujanji makan untuk luangkan masa. Boleh juga gunakan teknik ‘nota kecil’ yang diletakkan di dalam bekal ke pejabat, juga di peti ais. Mungkin boleh juga tampal di dalam kereta pasangan. Sudah tentu pasangan akan tersenyum sepanjang perjalanan dan membuatkan si dia teringat-ingat momen indah bersama. Nota kecil juga boleh digunakan untuk memujuk ketika si dia merajuk. 


Malah, nota kecil juga boleh digunakan untuk memberi semangat kepada anak-anak. Ada ketika pasangan kita bertugas di luar daerah. Tinggalkan nota berupa nasihat, motivasi dan pesanan untuk ditampal di bilik tidur atau bilik belajar anak-anak. Ibu atau ayah ambil peranan sebagai tukang tampal pada waktu-waktu . Bunyinya macam pelik dan kelakar akan tetapi memberi kesan terhadap perkembangan emosi dan mental anak-anak.

Setiap hujung bulan pula diperuntukkan masa untuk membawa anak-anak bercuti atau pulang ke kampung  berjumpa datuk dan nenek juga saudara mara. Bagi yang sentiasa sibuk dengan tugasan luar tidak berkesempatan setiap hujung bulan, luangkan masa untuk menghubungi ayah ibu. Mendengar suara anak pun mampu buat ayah ibu rasa terhibur.



Fahamilah perasaan insan-insan yang ada di sekeliling kita. Hargai mereka selagi ada dan masih belum terlambat bagi yang belum lakukannya. Cipta ruang dan peluang komunikasi dengan pelbagai cara yang lebih kreatif. KOMITMEN ANDA BUKTI KASIH SAYANG. KOMUNIKASI HEBAT, HUBUNGAN TAMBAH ERAT.  INSYA ALLAH… 



No comments:

Post a Comment