POSITIF JIWA & MINDA

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Google

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebagaimana Rasulullah SAW menganjurkan umatnya supaya berdoa “ Ya Allah janganlah Engkau serahkan diriku kepada diriku sendiri walau sekelip mata”. Doa ini menjelaskan bahawa sesungguhnya keupayaan dan kekuatan diri manusia amat terbatas. Segala kebergantungan hanya kepada Allah SWT dan setiap apa yang berlaku adalah kehendakNya. Adakalanya kita (manusia) gagal untuk menyelami dan memahami apa yang tersirat di sebalik taqdir yang tertulis, lantaran kita terlalu memikirkan… begitu… begini… mengapa… bila… bagaimana…

Mengungkap petikan dalam sebuah bait syair : “Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata “Barangkali” dan “Kalau”.

Kita sering menyalahkan situasi yang berlaku. Lalu mengatakan “kalau lah” maka hal itu  tidak akan berlaku. Adakalanya terlintas dalam hati “ Adakah Allah sayangkan ku?”  Lalu nafsu dan syaitan mengambil peluang, sedaya upaya mendorong manusia untuk melakukan sesuatu yang tidak wajar  dan dimurkai Allah. Sesuatu yang sukar dan pahit itu tidak selamanya berkekalan, datang silih berganti.. Bait-bait lirik  nasyid berikut benar-benar terkesan “…Jangan difikir derita akan berpanjangan , kelak akan membawa putus asa pada Tuhan…Ingatlah biasanya kabus tak berpanjangan. Setelah kabus berlalu pasti cerah kembali… Ujian adalah tarbiah dari Allah, apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya. Kesenangan yang datang selepas kesusahan , semuanya adalah nikmat dari Tuhan…”

Teringat perkongsian ketika menghadiri bengkel penulisan yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Dalam masa menasihati dan berdakwah melalui penulisan, beliau sendiri didatangi mehnah. Memetik kata-kata beliau “Jika yang diharapkan berlaku, syukur. Namun sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak disangka… sabarlah. Belum tentu itu satu keburukan. Seringkali keberkatan, kebaikan dan kejayaan dibungkus oleh takdir dengan kepahitan, kerugian dan kegagalan. Seringkali kita gagal melihat hakikat ini ketika ia sedang berlaku… namun apabila sedikit masa berlalu barulah kita sedar, rupa-rupanya Allah takdirkan kita berundur ke belakang untuk mengambil lajak bagi melonjak lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan.”

Kita perlu sentiasa koreksi diri, sesiapa pun tidak terkecuali. Semua keputusan (takdir) dan kurniaan Allah adalah terbaik untuk hambaNya. Kita sering mengimpikan semua yang berlaku indah, menarik dan manis belaka. Apabila berlaku sesuatu yang bertentangan dengan kehendak diri, maka diri mula memprotes, memberontak menyalahkan takdir. Tatkala diri menerima takdir dengan lapang dada dan berfikiran positif, ianya menjadi pemangkin dan pencetus kepada perubahan diri bila mana menganggap ianya satu peluang yang baik. Selayaknya seorang Muslim dan Mukmin diuji  untuk dinilai sejauhmana tahap keimanan, bukan setakat lahiriah dan pengucapan semata-mata. Mafhum Firman Allah SWT dalam surah al- Baqarah  Al –Ankabut ayat 2-3 : “ Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka , maka (dengan ujianyang demikian) sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang beriman dan mengetahui orang-orang yang berdusta”.  

Kata arifbillah (orang yang mengenal Allah), “sekiranya kita merasakan kasih sayang Allah itu terpisah apabila DIA menguji kita, itu petanda tumpulnya akal, butanya mata hati.” Qada’ dan qadarNya adalah tanda kasih sayang Allah dalam membersihkan hati kita dari dosa dan mengurniakan pengampunan. Membenci ujian dan ketetapanNya bermakna kita masih belum mengenal Allah. Rasulullah SAW bersabda, “barang siapa yang dikehendaki Allah pada orang itu kebaikan, maka Allah akan cuba dengan ujian-Nya.” Ketika ujian bertamu : Kuatkan iman, sabar dan rujuk segera kepada Allah. Yakinlah dan pandanglah dengan positif takdirnya ada hikmah juga membersihkan diri – minda dan jiwa sekaligus mendekatkan kita kepada al-Khaliq..



Meminjam kata-kata pencetus daya mempositif minda dan jiwa “ Ujian (Mehnah) yang besar, untuk ‘membesarkan’ kita. Pemimpin yang besar itu dikenali melalui ujian yang dihadapinya. Semakin besar tahap kepimpinannya, maka semakin besarlah ujian yang Tuhan sediakan untuk ‘membesarkan’ lagi pengaruh kepimpinannya… Dan setiap kita adalah pemimpin… sekurang-kurang pemimpin buat diri sendiri. Jadi, kita pasti diuji! Justeru apabila diuji  katakanlah , “aku sudah terpilih!” Pandanglah dengan MATAHATI… POSITIF MINDA & JIWA !!!!

Salam Kasih Sayang...



Comments

Post a Comment