BENDUNGAN AMARAH



Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Google

Kebelakangan ini, kelihatan emosinya tidak stabil. Kelihatan gundah resah gelisah.. Sesekali raut wajahnya nampak  tegang.. Barangkali ada sesuatu yang difikirkan.. Tutur bicaranya berbaur emosi...
Pasti jiwanya tidak tenteram…Ada sesuatu yang mengusik jiwanya…Mungkin, barangkali ??!!

Tatkala berhadapan situasi sebegini teringat sebuah cerita di mana satu ketika, seorang lelaki menghadiahkan seguni paku kepada anaknya. Lantas dengan hairan pemuda itu bertanya kepada ayahnya  "Apa gunanya paku-paku ini ayah?"
Ayahnya dengan tenang menjelaskan, "Setiap kali kamu marah, paku tembok batu di hadapan rumah kita dengan paku itu bagi melepaskan kemarahan kamu."
Pemuda itu mengikut pesanan ayahnya. Hari pertama sahaja pemuda itu sudah memaku sebanyak 37 batang paku di tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, dia dapat mengurangkan rasa marah. Jumlah paku yang digunakan semakin hari semakin berkurang. Akhirnya, dia mendapati, lebih mudah mengawal marah daripada memukul paku yang menembusi tembok batu tersebut.
Akhirnya pemuda tersebut tidak lagi marah walaupun sekali. Dia lantas dengan rasa gembira memaklumkan kepada ayahnya. Ayahnya terus mengucapkan tahniah dan meminta dia mencabut kembali paku itu satu persatu setiap hari. Hari berganti hari dia berjaya mencabut semua paku di tembok tersebut.
Selesai tugasannya, dia memaklumkan hal itu kepada ayahnya dengan rasa bangga. Lalu lelaki itu memimpin tangan anaknya menuju ke tembok tersebut dan berkata, "Kau melakukannya dengan baik anakku, namun lihatlah kesan lubang di tembok batu tersebut. Tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelum ini.”
“Apabila kamu menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, pasti akan meninggalkan kesan parut dan luka sama seperti di tembok ini. Kamu boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Namun luka itu masih tetap ada. Luka di hati lebih pedih daripada luka fizikal. Insan di sekeliling kita adalah permata yang sukar ditemui. Mereka membuatkan kita ketawa dan mendorong kejayaan kita. Mereka juga mampu menjadi seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.”
Alangkah baiknya jika kita dapat mengawal perasaan marah yang mana sifatnya lebih banyak membawa kemudaratan. 

Sabda Nabi dalam hadis yang lain: "Jauhilah kemarahan kerana marah adalah bara api yang menyala dalam hati anak adam". Lihatlah bagaimana jika seseorang berada dalam keadaan marah. Pasti mukanya tegang. Rasulullah menerangkan: "Kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila marah dengan seseorang maka ambillah wuduk".
Dari Abu Hurairah R.A, bahawasanya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW. “Berilah wasiat kepada aku”. Sahut Nabi : “Janganlah engkau marah”. Kemudian dia mengulangi beberapi kali. Sabda nabi: “Janganlah engkau marah.” Riwayat oleh Imam Bukhari.

Hadis di atas menjelaskan bahawa Rasulullah SAW menasihati umatnya agar tidak menuruti nafsu kemarahan  dan lebih baik jika dapat mengawal perasaan amarah itu. Abu Dzar al-Ghifari berkata: Rasulullah pernah berkata kepada kami: ”Apabila marah seorang kamu yang sedang berdiri maka hendaklah ia duduk supaya hilang kemarahannya. Kalau masih belum juga hilang maka hendaklah ia berbaring”.

Ketenangan jiwa merupakan pencetus kebahagiaan hidup serta menjadi tunjang kesihatan rohani dan jasmani. Manakala sifat marah dan menuruti hawa nafsu adalah salah satu faktor utama yang mendatangkan mudarat dan keburukan akhlak seseorang. Islam menganjurkan umatnya mengurus kemarahan dengan cara berpuasa dan terapi zikrullah. Dengan zikrullah, Allah akan memberikan ketenangan jiwa. Sebagaimana maksud firman Allah SWT : “ Orang-orang yang beriman itu tenteram hati mereka lantaran ingat kepada Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu mententeramkan jiwa.” ( Ar-Ra’d :28)

Sifat marah yang datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Marah juga boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga hubungan persahabatan dan kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan kita susah melihat kebaikan orang lain serta hilang sifat lemah-lembut.

Daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tabiat ini sebenarnya boleh dikawal dan Islam menganjurkan umatnya agar mengendali sifat marah dan nafsu dengan melatihnya sedikit demi sedikit. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil dalam mengendalikan perasaan marah, iaitu :

a) Perasaan  malu kepada Allah SWT yang memerhati segala perlakuan dan tindak-tanduk kita melalui konsep ihsan itu sendiri.
b) Setiap kali  timbul perasaan marah, ingatlah bahawa kita ini hanya manusia yang hina.
c) Banyakkan berdiam diri dan berdoa agar Allah menyelamatkan kita daripada sifat marah.
d) Sentiasa mengingatkan diri bahawa sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yag anda marahi.
e) Membayangkan bagaimana buruknya rupa kita ketika sedang marah. 
f) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta’awwuz
( أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ) dan beristighfar kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
g) Mengambil wudhuk kerana ianya dapat memadamkan  api kemarahan yang sedang membara.
h) Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur.
i) Jelas berkenaan konsep tauhid. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan segala yang berlaku pasti ada hikmah (kebaikan) yang kita tidak ketahui.
j) Sekiranya kita tidak suka orang memarahi kita, maka tegurlah kesilapan yang dilakukan dengan cara berhemah dan kasih sayang.
  
Sifat marah juga adalah cerminan kalbu, keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal jiwa supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sentiasa. Dalam keadaan marah, kita sering melakukan kesilapan dan bertindak luar jangkaan. Sekiranya tidak dikawal, sifat ini mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada individu itu sendiri juga orang yang berada di sekelilingnya sekaligus membawa kepada persepsi yang tidak baik.
 
Saidina Umar Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, “Orang yang beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”

Walaupun amarah itu mendatangkan kemudaratan, Allah menjadikan setiap sesuatu itu pasti ada kebaikannya. Begitu juga dengan sifat marah ,nafsu dan syahwat yang pada manusia itu tetap ada kebaikan dan memberi faedah kepada manusia sesuai pada tempatnya dan diurus dengan baik. Contohnya, setiap manusia dikurniakan nafsu dan syahwat untuk mencari makanan ketika lapar. Ianya sebagai keperluan dan tidak berlebih-lebihan untuk meneruskan kehidupan beramal dan beribadah. Sifat marah juga dituntut dalam mempertahankan diri, tidak berdiam diri atau terlalu pengecut ketika mana umat Islam diancam dan dimusuhi, juga ketika mana hukum-hukum agama dipersenda .  Dalam hal ini Baginda menegaskan dalam sabdanya bermaksud: "Sebenarnya aku ini seorang manusia. Aku marah seperti mana manusia marah (Hadis Riwayat Muslim dan Anas)


Adakalanya kita sebagai manusia tersasar ketika membuat perhitungan, tersalah mentafsir apabila nafsu syahwat itu  menguasai jiwa manusia dan akal yang sempurna. Langkah seterusnya adalah ikhtiar untuk berubah, azam disemat dan tekad dipadu memandu hala tuju. Serahkan kepada Allah. Segala kebergantungan kita hanya padaNya, semua yang datang adalah yang terbaik mengikut ketetapanNya. InsyaAllah hati menjadi tenang, akhlak pekertinya cantik dipandang... Ameen..

Comments

Post a Comment