Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Google
Kebelakangan ini,
kelihatan emosinya tidak stabil. Kelihatan gundah resah gelisah.. Sesekali raut
wajahnya nampak tegang.. Barangkali ada sesuatu yang difikirkan.. Tutur
bicaranya berbaur emosi...
Pasti jiwanya tidak
tenteram…Ada sesuatu yang mengusik jiwanya…Mungkin, barangkali ??!!
Tatkala berhadapan
situasi sebegini teringat sebuah cerita di mana satu ketika, seorang lelaki
menghadiahkan seguni paku kepada anaknya. Lantas dengan hairan pemuda itu
bertanya kepada ayahnya "Apa gunanya paku-paku ini ayah?"
Ayahnya dengan tenang
menjelaskan, "Setiap kali kamu marah, paku tembok batu di hadapan rumah
kita dengan paku itu bagi melepaskan kemarahan kamu."
Pemuda itu mengikut
pesanan ayahnya. Hari pertama sahaja pemuda itu sudah memaku sebanyak 37 batang
paku di tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, dia dapat
mengurangkan rasa marah. Jumlah paku yang digunakan semakin hari semakin
berkurang. Akhirnya, dia mendapati, lebih mudah mengawal marah daripada memukul
paku yang menembusi tembok batu tersebut.
Akhirnya pemuda
tersebut tidak lagi marah walaupun sekali. Dia lantas dengan rasa gembira
memaklumkan kepada ayahnya. Ayahnya terus mengucapkan tahniah dan meminta
dia mencabut kembali paku itu satu persatu setiap hari. Hari berganti hari dia
berjaya mencabut semua paku di tembok tersebut.
Selesai tugasannya,
dia memaklumkan hal itu kepada ayahnya dengan rasa bangga. Lalu lelaki itu
memimpin tangan anaknya menuju ke tembok tersebut dan berkata, "Kau
melakukannya dengan baik anakku, namun lihatlah kesan lubang di tembok batu
tersebut. Tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelum ini.”
“Apabila
kamu menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, pasti akan
meninggalkan kesan parut dan luka sama seperti di tembok ini. Kamu boleh
menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Namun luka itu masih tetap
ada. Luka di hati lebih pedih daripada luka fizikal. Insan di sekeliling kita
adalah permata yang sukar ditemui. Mereka membuatkan kita ketawa dan mendorong
kejayaan kita. Mereka juga mampu menjadi seorang pendengar, berkongsi suka dan
duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.”
Alangkah baiknya jika
kita dapat mengawal perasaan marah yang mana sifatnya lebih banyak membawa
kemudaratan.
Sabda Nabi dalam
hadis yang lain: "Jauhilah
kemarahan kerana marah adalah bara api yang menyala dalam hati anak adam".
Lihatlah bagaimana jika seseorang berada dalam keadaan marah. Pasti
mukanya tegang. Rasulullah menerangkan: "Kemarahan
itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api
hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila marah dengan seseorang maka
ambillah wuduk".
Dari Abu Hurairah R.A, bahawasanya
seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW. “Berilah wasiat kepada aku”. Sahut Nabi
: “Janganlah engkau marah”. Kemudian dia mengulangi beberapi kali. Sabda nabi:
“Janganlah engkau marah.” Riwayat
oleh Imam Bukhari.
Hadis di atas menjelaskan bahawa
Rasulullah SAW menasihati umatnya agar tidak menuruti nafsu kemarahan dan
lebih baik jika dapat mengawal perasaan amarah itu. Abu Dzar al-Ghifari
berkata: Rasulullah pernah berkata kepada kami: ”Apabila
marah seorang kamu yang sedang berdiri maka hendaklah ia duduk supaya hilang
kemarahannya. Kalau masih belum juga hilang maka hendaklah ia berbaring”.
Ketenangan jiwa merupakan pencetus
kebahagiaan hidup serta menjadi tunjang kesihatan rohani dan jasmani. Manakala
sifat marah dan menuruti hawa nafsu adalah salah satu faktor utama yang
mendatangkan mudarat dan keburukan akhlak seseorang. Islam menganjurkan umatnya
mengurus kemarahan dengan cara berpuasa dan terapi zikrullah. Dengan zikrullah,
Allah akan memberikan ketenangan jiwa. Sebagaimana maksud firman Allah SWT : “ Orang-orang yang beriman itu tenteram
hati mereka lantaran ingat kepada Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu
mententeramkan jiwa.” (
Ar-Ra’d :28)
Sifat marah yang
datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Marah juga
boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga hubungan persahabatan
dan kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan kita susah melihat kebaikan
orang lain serta hilang sifat lemah-lembut.
Daripada Aisyah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap
perkara.”
(Riwayat al-Bukhari
dan Muslim)
Tabiat ini sebenarnya boleh dikawal dan
Islam menganjurkan umatnya agar mengendali sifat marah dan nafsu dengan
melatihnya sedikit demi sedikit. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil dalam
mengendalikan perasaan marah, iaitu :
a) Perasaan malu
kepada Allah SWT yang memerhati segala perlakuan dan tindak-tanduk kita melalui
konsep ihsan itu sendiri.
b) Setiap kali
timbul perasaan marah, ingatlah bahawa kita ini hanya manusia yang hina.
c) Banyakkan berdiam
diri dan berdoa agar Allah menyelamatkan kita daripada sifat marah.
d) Sentiasa
mengingatkan diri bahawa sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan
dan pembalasan dendam dari orang yag anda marahi.
e) Membayangkan
bagaimana buruknya rupa kita ketika sedang marah.
f) Apabila datang
marah, banyakkan baca Ta’awwuz
( أعوذ بالله من الشيطان الرجيم )
dan beristighfar kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
g) Mengambil wudhuk
kerana ianya dapat memadamkan api kemarahan yang sedang membara.
h) Jikalau tidak boleh
hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan
meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur.
i) Jelas berkenaan
konsep tauhid. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan segala yang berlaku
pasti ada hikmah (kebaikan) yang kita tidak ketahui.
j) Sekiranya kita
tidak suka orang memarahi kita, maka tegurlah kesilapan yang dilakukan dengan
cara berhemah dan kasih sayang.
Sifat marah juga
adalah cerminan kalbu, keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal
jiwa supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sentiasa. Dalam keadaan
marah, kita sering melakukan kesilapan dan bertindak luar jangkaan. Sekiranya
tidak dikawal, sifat ini mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada individu
itu sendiri juga orang yang berada di sekelilingnya sekaligus membawa kepada
persepsi yang tidak baik.
Saidina Umar
Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, “Orang yang beroleh kemenangan ialah
orang yang mengawal dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”
Walaupun amarah itu
mendatangkan kemudaratan, Allah menjadikan setiap sesuatu itu pasti ada
kebaikannya. Begitu juga dengan sifat marah ,nafsu dan syahwat yang pada
manusia itu tetap ada kebaikan dan memberi faedah kepada manusia sesuai pada
tempatnya dan diurus dengan baik. Contohnya, setiap manusia dikurniakan nafsu
dan syahwat untuk mencari makanan ketika lapar. Ianya sebagai keperluan dan
tidak berlebih-lebihan untuk meneruskan kehidupan beramal dan beribadah. Sifat
marah juga dituntut dalam mempertahankan diri, tidak berdiam diri atau terlalu
pengecut ketika mana umat Islam diancam dan dimusuhi, juga ketika mana
hukum-hukum agama dipersenda . Dalam hal ini Baginda menegaskan dalam
sabdanya bermaksud: "Sebenarnya aku ini seorang manusia. Aku
marah seperti mana manusia marah (Hadis Riwayat Muslim dan
Anas)
Adakalanya kita
sebagai manusia tersasar ketika membuat perhitungan, tersalah mentafsir apabila nafsu syahwat itu menguasai jiwa
manusia dan akal yang sempurna. Langkah seterusnya adalah ikhtiar untuk berubah, azam disemat dan
tekad dipadu memandu hala tuju. Serahkan kepada Allah. Segala kebergantungan
kita hanya padaNya, semua yang datang adalah yang terbaik mengikut
ketetapanNya. InsyaAllah hati menjadi tenang, akhlak pekertinya cantik
dipandang... Ameen..
bestnya. suka baca.
ReplyDeleteTerima kasih Kak Monalita...
DeleteUntuk berkongsi ilmu dan manfaat kpd semua.