RAKAN FOLLOWERS

Wednesday, 8 July 2015

MALAM SERIBU BULAN...FASA 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Sumber Foto : Google

Assalamualaikum Wrt. Wbt.

Seolah tidak percaya bahawa Ramadan akan meninggalkan kita.
Terlalu cepat. Masih tidak puas bersama Ramadan.
Hari ini tanggal 21 Ramadan 1436H .Kita telah berada di fasa 10 terakhir di bulan Ramadan.
Bagi yang sudah mengetahui, inilah saat yang dinantikan. Pencarian malam Lailatul Qadar setahun hanya sekali. Saya kongsikan untuk tatapan umum.

Apa itu Lailatul Qadar?
Lailatul Qadar adalah malam yang paling utama sepanjang tahun berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :  “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (iaitu al-Quran) pada  Lailatulqadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan” (Surah al-Qadr : 1-3)

Rasulullah SAW menyarankan umat Islam agar menghidupkan 10 malam terakhir di mana salah satu dari malam tersebut merupakan malam Qadar.

Mencari Lailatul Qadar itu adalah sunat iaitu pada malam- malam yang ganjil bermula dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan (malam 21,23,25,27,29).Umat Islam digalakkan untuk melipatgandakan ibadah seperti membaca al-Quran, solat-solat sunat,beristighfar, bertasbih dan berdoa. Mendirikan malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadah dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.

Rasulullah menganjurkan kita selalu membaca doa :

اَللّهُمَّ إِنَّــكَ عَــفُوٌّ كَــرِيْــــــمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَــنِّيْ
“ Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka memberi maaf, maka berilah kemaafan kepadaku”.

Dari Aisyah R.A katanya :
  “  Saya bertanya : Ya Rasulullah , bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malam jatuhnya Lailatul Qadar itu, apakah yang harus saya ucapkan waktu itu?”
 Maka jawab Nabi : “Katakanlah : Ya Allah! Sesungguhnya Engkau maha Pengampun dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini”. (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tarmizi)

Justeru itu, marilah kita melipatgandakan amalan dan ibadah di sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan.

Rebutlah peluang beramal di bulan ini dan rugilah mereka yang tidak mahu mengambil tahu..Kerana masih menjadi tanda tanya samada kita dapat bertemu lagi Ramadan akan datang. Seharusnya kita bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk menambah amalan sebagai bekalan menuju akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
 “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Ahmad)

Sumber petikan : Panduan Sepanjang Ramadan – Syawal, Terbitan Pusat Islam Unisel, 2012


No comments:

Post a Comment