Pancaran Hidayah… Setulus Keinsafan


Teks : Noor Azzah Mohd Yusof

Pada zaman Nabi Musa AS, bani Israel ditimpa musim kemarau yang berpanjangan. Mereka pun berkumpul mendatangi Nabi mereka. Maka berangkatlah Musa A.S. bersama kaumnya menuju padang pasir yang luas. Waktu itu mereka berjumlah lebih dari 70 ribu orang. Nabi Musa pun berdoa supaya diturunkan hujan. Setelah itu langit tetap saja terang benderang, matahari pun bersinar makin menyilau.  Kemudian Nabi Musa berdoa lagi..
Allah pun berfirman kepada Nabi Musa, “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kalian sedangkan di antara kalian ada seorang hamba yang bermaksiat sejak 40 tahun yang lalu. Maka dialah penyebab, Aku tidak menurunkan hujan untuk kalian semua”.
Maka Nabi Musa pun berseru di tengah-tengah kaumnya, “Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun, keluarlah ke hadapan kami, kerana engkaulah menghalang hujan daripada diturunkan oleh Allah”. Seorang lelaki menjeling ke kanan dan kiri, maka tidak seorang pun yang keluar di hadapan manusia, saat itu pula ia sedar kalau dirinya yang dimaksudkan. Dalam hatinya timbullah penyesalan yang amat dalam.
Ia berkata dalam hatinya, “Kalau aku keluar ke hadapan manusia, maka akan terbuka rahsiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tidak akan turun. Di manakah akan diletakkan maruah dan kemuliaan keluargaku? Tentulah mereka akan dipandang hina keranaku. Dan sekiranya aku tetap bersama mereka, pasti hujan tidak akan diturunkan oleh Allah SWT.”. Maka hatinya pun gundah-gulana, air matanya pun menitis, menyesali perbuatan maksiatnya sambil berkata , “Ya Allah, Aku telah ingkar dan derhaka kepadaMu selama 40 tahun, selama itu pula Engkau masih beri kesempatan dan menutupi aibku. Sesungguhnya sekarang aku bertaubat kepadaMu, janganlah dibuka aibku di hadapan hamba-hamba-Mu dan nabi-Mu, maka terimalah taubatku”.
Tidak lama setelah pengakuan taubatnya tersebut, maka awan-awan tebal pun muncul, semakin lama semakin tebal menghitam, dan akhirnya turunlah hujan. Nabi Musa pun kehairanan, “Ya Allah, Engkau telah turunkan hujan kepada kami, namun tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia”. Allah berfirman, “Aku menurunkan hujan kepada kalian oleh sebab hamba yang menjadi sebab hujan tidak turun telah bertaubat kepadaKu”.
Musa berkata, “Ya Allah, tunjukkan padaku hamba yang taat itu”. Allah berfirman, “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya sewaktu dia masih bermaksiat kepadaKu, apakah Aku perlu membuka aibnya sedangkan dia telah kembali mentaati-Ku?”
Apakah hidayah Allah?
Dari mana ia datang dan di mana letaknya hidayah itu?
Layakkah aku mendapat hidayah?
Mengapa aku masih tidak beroleh hidayah?
Perlukah aku mencari hidayah?

Pelbagai persoalan yang timbul berkaitan ‘hidayah’ Allah. Sebahagian di antara kita ada yang masih buntu mencari jawapan dan tidak dapat merungkaikan persoalan tersebut.
Syukur ke hadrat Ilahi..Dia lah Maha Agung Pemilik alam ini, pemberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.. Alangkah beruntungnya bagi mereka dapat merasai… Jangan dibiarkan ianya terlepas walaupun seketika, kerana tatkala hidayah itu pergi … tidak pasti sama ada kita masih berpeluang menemuinya kerana jambatan kehidupan ini terlalu singkat..
Manusia seringkali alpa dengan perhiasan dunia sehingga terlupa tujuan  dan destinasi hakiki, kabur pandangan dilitupi kemewahan serta keseronokan dan noda menutupi hati sehingga tidak lagi mampu membezakan  antara buruk dan baik. Mereka semakin jauh dari hidayah dan rahmat Allah.
Tanpa hidayah Allah manusia akan tersesat dalam kembaranya. Hidayah yang datang adalah dari pancaran keinsafan yang hadir dalam diri. Tanpa keinsafan, mereka tidak akan dapat merasai hidayah dan menghargainya. Allah berhak mengurniakan hidayah dalam pelbagai keadaan.. ujian atau musibah yang datang merupakan peringatan dan petunjuk dari Allah agar kita tidak terus hanyut dan tersasar jauh dari landasan Allah. Sebagaimana yang diceritakan dalam kisah di zaman nabi tentang seorang yang dahulunya melakukan maksiat, akhirnya bertaubat setelah mendapat petunjuk dari Allah. Musibah yang Allah berikan telah membuka pintu hatinya dan menyesali segala perbuatan dosanya yang telah lalu. Ini salah satu daripada hidayah Allah dalam bentuk Intibah.
Hidayah Intibah – hidayah yang datang secara tiba-tiba atau mengejut. Allah membangkitkan kesedaran dalam jiwa seseorang dari kelalaian kembali mengingati Allah. Ini merupakan jalan terawal membawa seseorang menuju ke jalan Allah. Seterusnya Allah memngurniakan  “Hidayah Istiqamah” kepada orang mukmin supaya terus istiqamah (berterusan) dalam mencari keredhaan Allah sekaligus meningkatkan tahap keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Justeru , untuk memperolehi hidayah-Nya, Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa membersihkan hati dari noda dan dosa serta sifat mazmumah (sifat yang dikeji), syirik dengan bertaubat, melakukan amal kebaikan, berzikir mengingati Allah serta memohon dijauhkan dari kesesatan, kekufuran dan maksiat. Hidayah, iman dan taqwa itu letaknya di dalam hati manusia. Hati yang bersih mudah untuk menerima hidayah Allah. Sebaliknya hati yang sakit dan hitam disebabkan dosa menjadikan mereka semakin jauh terpesong kehidupannya.  Lantaran itu, manusia perlu memohon hidayah kerana hati manusia sifatnya sentiasa berbolak balik. Islam menganjurkan umatnya membaca doa supaya ditetapkan di jalan Allah..
رَبَّـــنَــا لَا تُزِغْ قُـــلُوْبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَـــــنَا وَهَبْ لَــنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنـَّـكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya : Ya Tuhan Kami, janganlah Engkau pesongkan hati – hati kami kepada kesesatan setelah Engkau beri petunjuk kepada kami,
dan kurniakanlah kepada kami rahmat
 dari sisi Engkau. Sesungguhnya
Engkau Maha Pemberi.
(Ali Imran : 7)
Rasulullah SAW juga mengajarkan umatnya untuk berdoa supaya kekal dalam hidayah Allah . Berkata Ummu Salamah Radiallahu ‘anha : “Doa ini merupakan doa Nabi Muhammad SAW yang paling banyak (dibaca)”. Doa itu ialah :
يَا مُقَـــلِّبَ الْقُـــلُوْبِ ، ثَــبِّتْ قَــــلْبِــيْ عَلَى دِيْنـِــــكَ
Maksudnya :Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hati kami
di atas agama-Mu.
– Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi
يــَـا مـُــصَــرِّفَ الْــقُــلُوْبِ ، صَـــرِّفْ قُــــلُوْبــُـنــَــا عَــلىَ طَاعَـــتـِــكَ
Maksudnya : Ya Allah yang mengubahkan hati, ubahlah hati-hati kami kepada
mentaati-Mu
–  Riwayat Muslim.
Hidayah Allah tidak akan datang jika kita tidak mencarinya. Mana mungkin seseorang yang kelaparan akan memperolehi makanan, sedangkan dia hanya duduk berdiam diri tanpa berusaha untuk mendapatkan sesuap nasi. Sudah tentu dia akan berusaha untuk mendapatkan makanan sebagai alas perut. Analogi ini berhubungkait dengan Firman Allah SWT dalam surah ar- Ra’d ayat 11 yang bermaksud : 
“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum, sehingga mereka
mengubah keadaan diri mereka sendiri.”
Sebagai umat Islam, perlu sentiasa berusaha mengharapkan hidayah Allah dan menyemai kesedaran dalam diri. Kerana setiap pencarian itu pasti ada hasilnya, tiada istilah kesukaran dalam memperolehi hidayah Allah melainkan bagi seseorang yang tidak mencari, malas dan ego.
Perlu muhasabah diri dan tekad untuk berubah, belajar untuk mengawal hawa nafsu serta melakukan kebaikan. Elakkan dari berkata sukar untuk memperolehi hidayah kerana ianya akan menjadi hijab untuk beroleh hidayah Allah.
Umat Islam hendaklah bersangka baik terhadap Allah sebagai tanda cinta kepada-Nya, serta berfikiran positif juga tatkala memohon kepada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Adil dan Penyayang,setiap mukmin yang berusaha, taat, berdoa dan sentiasa mengingati Allah akan dapat merasai kemanisan dan mendapat pertolongan dari Allah SWT. Seperti dalam riwayat al-Bukhari menyatakan : “ Aku selalu mengikut sangkaan hamba-Ku. Aku sentiasa bersama-samanya. Ketika ia mengingati-Ku di dalam dirinya, Aku pun mengingatinya di dalam diri-Ku. Jika dia mengingati-Ku di hadapan orang ramai, Aku pun akan mengingatinya di hadapan orang yang lebih ramai. Jika dia mendekati-Ku sepanjang sejengkal, Aku akan mendekatinya sehasta. Jika dia mendekati-Ku sehasta , Aku akan mendekatinya sedepa. Jika dia mendatangi –Ku dengan berjalan kaki, Aku akan mendatangi-Nya dengan berlari.”
Allah sedia mengabulkan permohonan kita selagi mana kita mememenuhi segala tuntutan dan beriman kepada-Nya.
Solat fardhu lima waktu merupakan kewajipan bagi setiap umat Islam juga sebagai perisai. Di sebalik solat itu terkandung di dalamnya rahsia dan hikmah Allah khusus buat umat Islam itu sendiri. Solat merupakan doa yakni permohonan hamba kepada al-Khaliq Allah SWT. Bacaan surah al-Fatihah dalam solat yang didirikan mempunyai maksud yang tersirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Fatihah, ayat 6-7 :
إِهْــدِنَا الصِّــرَاطَ الْمُسْــــتَـــقِــيْمِ , صِرَاطَ الَّذِيْنَ أَنْـــعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيـــْرِ الــمَغْضُوْبِ عَلـَـيْهِمْ وَالَضّآلـِّــيْــنَ
Maksudnya :Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka;
 bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan 
bukan jalan orang-orang yang sesat. 



Menurut Sayyid Kutub dalam kitab Tafsir Fi Zilal al-Quran menerangkan kalimah 
( إِهْــــدِنـــَــا ) bermaksud :

1 )  Berilah taufik ( pertolongan ) kepada kami untuk mengetahui jalan hidup yang lurus.
2) Dan berilah kami pertolongan untuk tetap istiqamah (teguh pendirian) di jalan itu setelah kami mengetahuinya.

Hidayah perlu dicari dengan cara mendekatkan diri dengan sumber hidayah itu sendiri. Adapun sumber hidayah itu datangnya dari Allah SWT. Sumber yang boleh mendekatkan diri kita dengan Allah SWT ialah melalui Kalamullah iaitu Al-Quran dan tanda-tanda kebesaran Allah (Ciptaan-Nya)..seterusnya sumber yang kedua adalah Rasulullah SAW. Allah mengutus Rasulullah SAW sebagai pembimbing umat  manusia.
Rasulullah SAW bersabda mafhumnya : “Maka sebaik-baik kalam itu ialah Kalam Allah ( Al-Quran) dan sebaik-baik hidayah itu adalah hidayah Nabi Muhammad (as-sunnah/ al-hadis)”- Riwayat Ibnu Majah daripada Abdullah Bin Mas’ud.
Setiap diri manusia tidak lari dari melakukan kesalahan. Rasa keinsafan dan kesedaran yang tulus ikhlas membuahkan kemanisan dan keindahan iman. Jadikanlah Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan dan panduan dalam kembara kehidupan ini, sentiasa berusaha dan berdoa agar sentiasa dikurniakan petunjuk dan kasih sayang-Nya. Insya Allah…

Comments