MUKMIN BERILTIZAM

Teks : Noor Azzah Mohd Yusof

“ Bagi sesiapa yang mahu di antara kamu, hendak maju ke depan atau mundur ke belakang. Tiap-tiap diri manusia terikat disebabkan oleh usahanya.” (Al-Muddastsir : 37-38)

Komitmen itu sendiri saling berkait dengan konsep itqan (bersungguh-sungguh). Tanggungjawab merupakan amanah bagi setiap individu. Baik buruk hasilnya bergantung kepada komitmen individu itu sendiri. Kelak kita semua dipertanggungjawabkan atas tindakan dan perbuatan yang dilakukan. Seorang yang itqan itu bijak menggunakan dan mengurus masa dalam melakukan kerja serta mengikut tertib dan peraturan. Selain itu juga sentiasa berikhtiar dan berusaha meningkatkan mutu kerja untuk menghasilkan produktiviti yang cemerlang juga wasatiah (seimbang) dalam urusan dunia dan akhirat.

“ Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, ia dilaksanakan dengan cemerlang (HR al-Baihaqi)

Mukmin yang berjaya adalah mereka yang beriltizam, penuh komitmen dan melaksanakan suruhanNya. Sesungguhnya Allah mengasihi hambaNya yang bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan. Sebagaimana Islam juga membenarkan muslimah untuk keluar berkerja selagi mana tidak mengabaikan tanggungjawab dan tidak melanggar ketetapan syariat. Ini selaras dengan konsep kerja adalah satu ibadah. 

Antara ciri-ciri mukmin yang berjaya juga adalah mereka yang berpegang teguh dalam mentauhidkan Allah SWT dan mencintai Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

Kegagalan umat Islam pada hari ini berpunca dari sikap mereka sendiri yang tidak mengikuti syariatullah dan meninggalkan ajaran Islam. Sesungguhnya seluruh ciptaanNya menepati Sunnatullah dan Allah ingin mendidik kita agar menjadi khalifah yang berjaya mentadbir dan memakmurkan bumi serta mencontohi perjuangan serta peribadi Rasulullah dan para sahabat baginda dalam seluruh aspek kehidupan. Semoga kita tidak putus asa dalam meniti laluan hidup dan sentiasa bersangka baik kepadaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa ada bersama kita.

Insan berkualiti, iman terpatri, mantap jati diri, Insya-Allah dirahmati…

Comments