FADHILAT MUHARRAM , HIJRAH RASULULLAH S.A.W DAN AGEN PERUBAH UMMAH


Teks : Noor Azzah Mohd Yusof
Gambar : Google

Salam Ma’al Hijrah 1436, memulakan episod di tahun baru dengan semangat dan azam lebih baik dari sebelumnya. Sedikit perkongsian dari saya moga catatan in dapat dimanfaatkan bersama.

FADHILAT BULAN MUHARRAM                  
Sesungguhnya bulan Muharram adalah termasuk dalam 4 bulan haram selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Rejab. Haram bermaksud larangan berperang dan membuat kezaliman dan melambangkan kehormatan serta terkandung kelebihan(fadilat) di dalam bulan Muharram. 

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW  :
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

“Puasa yang paling afdhal setelah puasa di bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah bulan Muharram. Dan solat yang paling afdhal setelah solat yang difardhukan adalah solat di malam hari.” (Hadis Riwayat Muslim, 6/63, no. 1982)

Antara amalan yang dianjurkan semasa bulan Muharram iaitu :
v   mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya:
“Adapun puasa di hari ‘Asyura, aku memohon kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim, 6/55, no. 1976)
Adapun Rasulullah menganjurkan untuk berpuasa pada hari kesembilan Muharram bagi membezakan puasa orang Yahudi dan Nasrani yang juga berpuasa pada hari ke-10 Muharram. Imam Syafi’e dalam kitabnya ‘Al-Umm’ menyatakan sunat berpuasa 3 hari iaitu pada 9hb, 10hb dan 11hb Muharram. Saranan Imam   Syafi’e ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud :
“ Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura dan bezakan sikap kamu dengan orang Yahudi. Dan puasalah kamu sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya.” (Riwayat Imam Ahmad)
v Menghidupkan malam awal Muharram dan malam 10 Muharram dengan qiamullail mendirikan solat sunat Tahajjud, Solat Sunat Taubat, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir (bertahmid,bertasbih, beristighfar)

v Moga amalan yang kita lakukan selari dengan Sunnah Rasulullah semoga ianya diterima oleh Allah S.W.T. insya Allah.

PENGHIJRAHAN RASULULLAH S.A.W
Selamat datang Bulan Muharram . Ia merupakan permulaan kalendar hijriah bagi umat Islam. Di bulan mulia ini kita mengimbau kembali peristiwa penting penghijrahan Baginda Rasulullah S.A.W. dari Kota Mekah ke Madinah pada 622M kira-kira 12 tahun selepas dakwah di Mekah . Penghijrahan Rasulullah menyingkap sirah pengorbanan dan perjuangan Baginda dalam menyebarkan dakwah Islam. Baginda ditemani oleh sahabat baiknya Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Turut membantu penghijrahan Rasulullah adalah Ali Bin Abi Talib yang menggantikan tempat tidur Baginda sehingga kaum Quraish yang mengepung rumah Baginda terpedaya dengan strategi tersebut. Pada malam tersebut Rasulullah bersama sahabatnya bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari. Dalam perjalanan tersebut, Baginda telah mengasaskan Masjid Quba’. Pada hari Jumaat12 Rabiul Awal 622M Baginda selamat tiba di Madinah. Penghijrahan ini membawa satu episod penting dalam pembinaan Negara Islam dan menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin.
Penghijrahan Rasulullah SAW membawa kepada nilai kehidupan yang tinggi, antaranya   :
1. Ketaqwaan kepada Allah mengatasi segalanya.
2. Kekuatan spiritual, fizikal, mental dan emosi  dalam menempuhi cabaran.
3. Ketaqwaan kepada Allah menjadikan diri sebagai perisai diri.
4. Konsep Persaudaraan (Ukhuwwah) adalah tonggak keutuhan dan kecemerlangan Ummah.
5. Memahami konsep integriti dalam kehidupan dan juga tanggungjawab sebagai khalifah. Setiap diri kita adalah khalifah berperanan memakmurkan bumi Allah.



Mari kita sama-sama memperbaiki dan mempertingkat amal ibadah dengan mengambil iktibar sirah perjuangan dan penghijrahan Baginda Rasulullah SAW. Jika kita tidak mampu berdakwah dan mengajak orang lain membuat kebaikan, maka didiklah diri agar tidak melakukan keburukan dan kejahatan. Setiap diri kita adalah pemimpin…Pemimpin kepada diri sendiri. Lakukanlah yang terbaik. Moga ianya akan menjadi perisai diri sekaligus menjadi cerminan diri yang boleh diteladani oleh orang lain. Dalam masa yang sama kita juga mampu mendoakan orang lain agar terbuka hatinya menerima petunjuk dan rahmat Allah. Dan sebenarnya kita mampu menjadi agen perubah ummah. Kita adalah ummah legasi penyambung dakwah Rasulullah SAW membawa syariat Islam dalam kehidupan. Insya Allah… Allahumma Ameen..


Comments